SENTUL: Kerusi Parlimen Batu dijangka menyaksikan pertembungan sengit bagi banyak parti politik, sekali gus memberi ‘bonus’ kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Antara nama calon yang dijangka akan bertanding di Parlimen ini adalah P Prabakaran dan Tian Chua dari PKR, peguam Siti Kassim, aktivis Nur Fathiah Syazwana juga dikenali Cleopatra, Nathan Pillai (Warisan), Arabath Ali (BN) dan lain-lain.
Penyelaras program BN Batu, Rodzi Tajuddin berkata, pertandingan banyak penjuru akan memberi kesan langsung kepada parti yang lemah atau kecil serta tidak dikenali, dan ia beri peluang BN untuk menang di kerusi itu.
“Bila ramai penjuru, kita banyak lagi peluang untuk menang, kita ada 11,300 pengundi.
“Dia (Arabath) ahli UMNO, ahli NGO, jadi, ada peluang untuk BN menang adalah tinggi,” katanya pada sidang media.
Terdahulu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali dan Presiden Pertubuhan Badan Amal Asnaf, Amiluddin Latif yang juga masing-masing Ahli UMNO turut hadir ke Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan/ NGO/ Komuniti, Sentul, di sini.
Rodzi berkata, pada majlis itu pihaknya mengumpulkan semua lokaliti Parlimen Batu, NGO, parti politik, komuniti, kita jemput lebih 30 NGO untuk gerakkan jentera untuk pastikan kemenangan BN.
“Salah satu strategi kita bawa calon hari ini, kita pilih bukan dia pilih sendiri daripada kalangan ketua komuniti, NGO, ahli UMNO dan BN,” katanya.