KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi terbesar dunia dijangka berlaku tahun hadapan lebih membimbangkan berbanding kebimbangan terhadap isu banjir, kata penganalisis ekonomi dan politik, Datuk Dr Ramalan Yunus.
Jelas beliau yang berkhidmat selama 30 tahun sebagai konsultan Pelaburan dan Kewangan, krisis berkenaan sudah dirasai pada hari ini sebagai contoh peningkatan harga kos barang makanan dan keperluan asas.
“Sejak 2018 sehingga hari ini dengan tiga kali bertukar kerajaan, rakyat sedar dan lihat sendiri terlalu banyak kerosakan telah berlaku dan ia perlu diperbetulkan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Rakyat sudah lihat bagaimana lemahnya negara ketika ditadbir Pakatan Harapan (PH), banyak aset negara dijual Khazanah secara mengejut, malah aset Tabung Haji juga nyaris dijual adakah itu penyelesaian untuk selamatkan ekonomi negara?
“Kita semua sudah alami situasi di mana dibuang kerja, statistik kes bunuh diri yang meningkat kerana tekanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dibawah era PH dan PN, kita tidak mahu patah balik ke saat kejatuhan yang dahsyat itu.
“Beritahu saya di Malaysia ini waktu mana yang tidak banjir, jika bukan banjir besar banjir kilat mungkin berlaku di mana-mana tetapi saya yakin setiap tahun rakyat semakin bersedia apabila hujan berlarutan mereka akan cari tempat selamat untuk berlindung.
“Tetapi saya hendak tanya, jika berlaku krisis ekonomi, inflasi meningkat, penggangguran bertambah adakah rakyat sudah bersedia?
“Ketika ini mungkin rakyat tidak sedar situasi semasa di mana ramai pelabur asing sudah ‘lari’ ke negara lain kerana meragui kestabilan negara kita.
“Sehubungan itu, saya setuju diadakan segera PRU15 demi mendapat kestabilan dan kerajaan yang kuat yang sudah matang mentadbir untuk perbetulkan segala kerosakan ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Media baru-baru ini melaporkan analisis Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan, bahawa Malaysia dijangka berdepan persekitaran amat mencabar tahun hadapan dengan ekonomi berkembang perlahan, namun tidak sehingga berlaku kemelesetan meskipun ekonomi Amerika Syarikat (AS) diramal menguncup.
Pihaknya tidak menjangkakan kemelesetan berikutan sokongan daripada kepelbagaian ekonomi negara ini di samping persekitaran kadar inflasi yang rendah disokong oleh subsidi kerajaan dan pemulihan ekonomi domestik.
Turut dilaporkan Bank Dunia memberi amaran bahawa bank-bank pusat di seluruh global secara serentak menaikkan kadar faedah untuk bertindak balas terhadap inflasi.
Menerusi kajian terbaharu Bank Dunia, bank-bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah tahun ini pada tahap yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu, trend yang berkemungkinan berterusan sehingga tahun depan.
Dalam pada itu Ramalan yang pernah mewakili Asia Pasifik untuk persidangan Pelaburan Bank, Amerika Syarikat iaitu Delamore and Owl menambah, untuk memulihkan kembali segala kerosakan ini hanya Barisan Nasional (BN) yang dilihat cukup pengalaman untuk mengembalikan kestabilan berkenaan.
“Analisis saya tiada parti politik lain yang ada pengalaman cukup baik menyelamatkan ekonomi negara selain BN, takkan kita mahu aset-aset negara terus dijual sebagaimana PH dahulu lakukan.
“PRU15 perlu dilakukan segera demi kepentingan awam, kita sudah terlalu lambat untuk PRU15 yang sewajarnya dibuat lebih awal.
“Ketika ini boleh dikatakan sudah kritikal untuk memastikan kita tidak terjerumus ke dalam krisis ekonomi tahun hadapan.
“Bagi mengatasi masalah ini, rakyat tidak boleh berekperimentasi dengan meletakkan negara dalam bahaya, kita tiada pilihan kecuali mengembalikan kestabilan politik dan negara ke landasan yang betul,” katanya.