HomeBeritaJAKIM nasihat orang ramai berhati-hati individu mengaku 'cicit nabi'

JAKIM nasihat orang ramai berhati-hati individu mengaku ‘cicit nabi’

CYBERJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan orang ramai agar berhati-hati berhubung dakwaan individu yang mengaku dirinya sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Terdahulu, tular beberapa portal berita melaporkan JAKIM mengeluarkan laporan terdapat keraguan terhadap latar belakang individu tersebut.

Namun, setelah diselidik, laporan tersebut dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) yang meminta semua pihak menyemak dahulu kesahihan latar belakang individu itu sebelum menganjurkan program dengannya, seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengambil maklum berkenaan tularnya laporan tersebut, JAKIM menjawab pertanyaan seorang pengguna maya melalui komen di akaun Facebooknya pada hari ini.

JAKIM mengambil maklum mengenai kehadiran individu yang dikatakan tokoh ulama dari Maghribi yang berkunjung ke Malaysia itu, yang telah menghadiri beberapa program diatur di beberapa buah negeri.

“JAKIM percaya pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil maklum dan perhatian mengenai program-program yang melibatkan kehadiran beliau.

“Setakat ini JAKIM tidak pernah membuat apa-apa kenyataan rasmi berhubung latar belakang individu berkenaan.

“Namun, JAKIM menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati dengan dakwaan yang tidak jelas mengenai latar belakang individu tersebut,” tegas JAKIM.

Untuk rekod, pembatalan satu program yang menampilkan individu tersebut dalam satu majlis maulid di beberapa buah negeri telah tular di media sosial, dan antara negeri yang membatalkan majlis tersebut ialah Kedah, Terengganu, Melaka dan Kelantan.

Author

Pilihan Editor