RAUB: Ratusan peneroka Felda Lembah Klau, Parlimen Raub, Pahang meluahkan rasa kecewa perbezaan harga melampau bagi seekar tanah mereka iaitu 99 sen kaki persegi, yang dijual bagi projek Pembinaan Empangan Klau pada tahun 2008.
Bantahan 447 peneroka ini sudah berlangsung 14 tahun namun tidak diendahkan, nilai tanah yang amat rendah dibayar berbanding RM3.45 kaki persegi ketika perjanjian asal.
Ia membabitkan pengambilan tanah seluas kira-kira 4,470 ekar yang asalnya dibuka pada tahun 1965 untuk penanaman kelapa sawit.
Bagaimanapun pada tahun 2008, tanah ini diambil untuk Projek Empangan Klau yang menelan kos RM3.8 bilion di bawah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor (Pahang-Selangor ISRWT) dilaksanakan pada 2008.
Wakil peneroka, Tengku Badri berkata, ketika harga ditawarkan kepada peneroka harganya, RM3.45 kaki persegi tetapi selepas peneroka tandatangan, bayaran diterima hanyalah 99 sen kaki persegi.
“Cara pengambilan tanah juga ada unsur khianat dan rasuah, pemilik tanah diminta menyerahkan juga tanah walaupun mereka tidak sepenuh hati menjualnya dan tidak dijelaskan secara terperinci kesan kepada masa depan mereka.
“Selepas tanah dijual, mereka hilang pendapatan daripada hasil tanah yang sepatutnya diperolehi, tanah yang diambil jadi ‘tasik takungan air’ sedangkan sebelum ini dijanjikan walaupum seinci tanah dinaiki air empangan kerajaan akan bayar kepada pemilik tanah terbabit.
“Apabila penduduk bersuara, ada pula ugutan untuk menghalau mereka keluar dari tanah mereka sendiri,” katanya kepada MEDIA VARIASI di Majlis Perjumpaan Peneroka Felda Lembah Klau dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini pada Selasa.
Turut hadir adalah Pengerusi Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim, wakil PPIM Suzana Abdullah dan juga Zulkifli Hassan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan hadir secara sidang video, bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada peneroka.
Tinjauan wartawan MEDIA VARIASI ke Felda Lembah Klau hari ini mendapati wujud ‘kemusykilan’ di pelbagai peringkat dalam proses pengambilan tanah sehingga menyebabkan peneroka tidak mendapat hak sewajarnya.
Perbezaan harga adalah beratus kali ganda jauh jika dibandingkan harga bagi tanah-tanah lain.
Tanah Felda Bukit Cerakah nilainya adalah RM160,000 bagi seekar, tanah Felda Sungai Buaya harganya RM150,000 seekar, mengikut harga pada tahun 1994.
Mengikut rekod lain, perbandingan harga tanah yang ditawarkan untuk Felda Sendayan di Labu Negeri Sembilan, adalah pampasan berbentuk sebuah rumah, wang tunai RM400,000 dan juga empat ekar tanah.
Ini bermakna nilai yang sepatutnya mereka terima adalah RM150,000 bagi seekar tanah tetapi hanya dibayar RM43,000 seekar.
Pelbagai kisah diluahkan, ada pemilik tanah yang sepatutnya terima pampasan RM99,000 tetapi hanya menerima RM1,000.
Ada yang sepatutnya menerima pampasan RM1.5 juta tetapi hanya terima RM400,000 malah paling teruk ada yang tidak terima langsung pampasan walaupun tanah dinaiki air.
Dalam pada itu, Suzana berkata, PPIM akan menemui dan berbincang dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan pengesahan daripada dakwaan peneroka-peneroka mengikut perjanjian asal mereka.
“Kita mahu tahu siapa yang menjadi orang tengah dalam urusan pampasan ini dan bagaimana bayaran pampasan tidak mengikut spesifikasi asal,” katanya.
Berita berkaitan:Â