GURUN: Keputusan DAP meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Jerai sepatutnya tidak menimbulkan isu dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) kerana ia telah dipersetujui Majlis Presiden PH, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke
Beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi khususnya yang disandang Bersatu, telah dilakukan sebelum ini, dan Amanah bersetuju untuk bertanding di Alor Gajah, manakala DAP memilih Jerai.
“Rundingan kerusi adalah atas semangat Pakatan Harapan, jadi kita ada perundingan di peringkat PH yang berjalan dengan baik, harmoni, dan apa-apa perbezaan kita dapat tangani secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Operasi Pilihan Raya Parlimen Jerai di Guar Chempedak di sini hari ini.
Semalam, PH mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di Kedah.
Hari ini Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phalrolrazi Mohd Zawawi dipecat keahliannya kerana didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.
Ia dipercayai berkaitan dengan isu pemberian kerusi Parlimen Jerai itu yang terdiri daripada majoriti pengundi Melayu kepada DAP.
Sementara itu, Anthony berkata, DAP akan meletakkan calonnya di beberapa lagi kerusi majoriti Melayu sebagai usaha parti itu meraih sokongan kaum berkenaan.
“Bukan sahaja di Parlimen Jerai, malah di Selangor juga kita akan letakkan calon dan ada beberapa kerusi lagi yang saya akan umumkan di Johor malam ini,” katanya. – BERNAMA