MUAR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diumumkan sebagai bakal calon parti itu bagi kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman oleh Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz di sini malam ini, sekali gus menjadikan Syed Saddiq calon kelima dari MUDA yang akan bertanding pada PRU15.
Syed Saddiq merupakan penyandang Parlimen Muar selama sepanggal dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (Barisan Nasional) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.
Selain Parlimen Muar, MUDA telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding menggunakan logo parti itu iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed di kerusi Parlimen Kepala Batas; Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang), Lim Wei Jiet (Tanjung Piai) dan Shahrizal Denci bagi Kota Marudu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 Nov) dan hari pengundian pada 19 Nov.
Dalam sidang media selepas itu, Syed Saddiq berkata kesemua calon MUDA yang bertanding pada PRU15 perlu mengisytiharkan aset masing-masing sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini, bertujuan mencipta budaya politik sihat dan telus.
“Saya juga dalam proses memuktamadkan pengisytiharan tersebut dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat kerana ini budaya baik dan sangat penting,” katanya.
Dalam pada itu, Amira Aisya yang juga Timbalan Presiden MUDA berkata, parti itu akan mengumumkan seorang lagi calon PRU15 dan perkara itu akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan media. – BERNAMA