RAMAI yang tidak berupaya melihat sudut positif apabila seorang ‘jeneral perang’ meletakkan ‘panglimanya’ di medan tempur yang asing daripada kebiasaannya.
Ramai juga yang tidak tahu panglima perang berkenaan sebenarnya dipilih kerana kekuatan, nilai tambah, kebolehpercayaan dan kemampuannya untuk memastikan kejayaan di medan tempur itu.
Tugas seorang jeneral perang bukanlah suatu hal mudah, beliau perlu memastikan strategi berjaya, kiraan yang tepat kerana ia melibatkan maruah pasukan perang, demi agama, bangsa dan tanah air yang dipertahankan.
Umum perlu diingatkan, tiada seorang jeneral yang diibaratkan sebagai nakhoda yang mahu mengaramkan kapal bersama tenteranya.
Ini merupakan analogi mudah untuk sebilangan orang kampung memahami strategi politik yang diatur oleh jeneral perang itu, iaitu Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan tertinggi UMNO.
Kita tidak menolak jika ada yang marah apabila mereka membuat keputusan meletakkan calon import berbanding calon tempatan di Gerik dan lain-lain kawasan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah buah catur Ahmad Zahid di kerusi Parlimen Gerik, Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik di Padang Besar dan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada tiga Menteri Besar Kedah iaitu Armishah Siraj di Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Mungkin ada yang lupa dalam medan perang, sebagai tentera mereka terpaksa terima dengan hati terbuka apabila jeneralnya meletakkan mereka di mana-mana medan tempur mengikut kiraan untuk menang.
Kerana di akhirnya yang memberi jawapan kepada seluruh persoalan dan pertikaian ini adalah impak yang terhasil daripada keputusan tuan jeneral.
Berdasarkan analisis dan pemerhatian penulis, Ahmad Zahid yang pernah dihukum penjara sebagai tahanan ISA pada 1998 pastinya sudah ‘masak’ dengan setiap gerak lawannya khususnya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana penentangannya terhadap Mahathir atas dasar prinsip hidup dan partinya telah membawa jasad itu ke tirai besi, pastinya beliau tidak akan membiarkan dirinya dipatuk di tempat sama dua kali.
Bagi seorang pemimpin tertinggi parti, beliau tidak akan sesekali mengkhianati parti atau mengergaji dahan tempat beliau sendiri berpaut.
Penduduk di Gerik, Padang Besar dan Langkawi sewajarnya menukarkan rasa marah, kecewa kepada rasa bertuah kerana hakikat sebenarnya panglima perang paling kuat pilihan jeneral datang ke tempat mereka untuk berbudi.
Panglima-panglima perang ini berjawatan tinggi di peringkat nasional, digeruni kawan dan lawan, memiliki rekod perjuangan yang panjang bersama rakyat.
Pastinya enam juta pemegang akaun KWSP termasuk di Gerik tidak akan lupa jasa Asyraf yang memulakan langkah panglimanya sampai ke Parlimen untuk memastikan rakyat dapat mengeluarkan simpanan wang mereka ketika keadaan amat mudarat.
Ketika itu era pandemik, pintu sempadan baru dibuka setelah dua tahun ditutup dengan statistik pengangguran dan bunuh diri yang meningkat naik sepanjang PKP menyebabkan Asyraf konsisten dalam perjuangannya.
Calon import bukanlah calon ‘underdog’ kerana mereka sudah dikenali ramai, yang wajar digunakan pengalaman mereka untuk menguruskan isu dan masalah rakyat.
Jika calon seperti ini diberi peluang untuk mengemudi kapal, pastinya memberi banyak kelebihan daripada segi kekuatan suara dan pengaruh mereka berdasarkan ‘track record’ yang dipersembahkan kepada rakyat.
Mungkin sesuatu yang baharu itu, memberi kebimbangan kepada rakyat dan ahli parti tetapi ia tidak semestinya salah kerana setiap orang perlu diberi peluang yang sama.
Yang menjadi salah hanyalah satu, iaitu sebagai pemimpin, jika beliau menerima nasihat yang salah akan membawa tsunami besar kepada pertubuhan terbesar Melayu yang diterajuinya.
Ahmad Zahid tidak sewenang-wenangnya meletakkan calon seperti dedalu yang hinggap di pohon, hinggap ke batang dan ranting mati.