KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Naib Juara Liga Premier, Kelantan FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2022, malam tadi.
Biarpun bertandang ke kubu lawan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu yang dibanjiri 20,000 penonton, skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sekali gus mendahului 2-0 seawal separuh masa pertama.
Penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-29 selepas menanduk masuk sepakan penjuru Leandro Velazquez sebelum penyerang kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad menggandakan kedudukan selepas menyudahkan satu hantaran lintang pada minit ke-37.
Harapan pasukan tuan rumah kendalian Rezal Zambery Yahya untuk melangkah ke separuh akhir semakin malap apabila JDT meledak gol ketiga pada minit ke-74 menerusi penyudah Velazquez yang bijak menggelecek beberapa pemain sebelum melepaskan rembatan deras ke gawang.
Seminit kemudian, pengadil Zulkarnain Zakaria melayangkan kad merah kepada pemain tengah JDT Mohd Afiq Fazail selepas mengutip kad kuning kedua kerana kekerasan dilakukan.
Bagaimanapun, berbekalkan tiga gol, JDT kini melangkah ke aksi kedua yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu depan dengan selesa sekali gus kekal di landasan untuk menebus kekecewaan selepas kecundang kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di final edisi lepas.
Pada masa sama, Sabah FC boleh menarik nafas lega selepas berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Kuching City FC pada pertembungan di Stadium Negeri, Kuching yang disaksikan lebih 20,000 penonton.
Bekas pemain tengah kebangsaan Baddrol Bakhtiar muncul wira skuad Sang Badak apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-69 selepas menolak masuk bola tampanan kurang kemas penjaga gol Shaiful Wazizi Mohammad.
Kuching City akan betandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi perlawanan kedua minggu depan. – BERNAMA