HomeBeritaSyed Ibrahim berpengalaman 46 tahun bantu anak miskin dapat bantuan pendidikan

Syed Ibrahim berpengalaman 46 tahun bantu anak miskin dapat bantuan pendidikan

PUCHONG: Pengalaman 46 tahun berbakti kepada masyarakat yang memerlukan terutama dalam kalangan B40 untuk bantuan akses pendidikan merupakan ‘report card’ gred cemerlang calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader buat pengundi di kawasan terbabit.

Kata calon BN itu, sepanjang 46 tahun perkhidmatan menerusi Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) telah membawa manfaat kepada pelbagai kelompok masyarakat B40 dengan mempunyai rangkaian yang kuat menyalurkan bantuan pendidikan sekaligus akan meneruskan legasi ini sekiranya dipilih pada 19 November ini.

“Pengalaman saya selama 46 tahun bersama KIMMA dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan membantu anak-anak B40 mendapat pendidikan.

“Saya dengan KIMMA ada banyak networking (jaringan) untuk menyalurkan perkhidmatan ini sekiranya dipilih oleh rakyat Puchong.

“Selain itu, lokasi perkhidmatan saya tidak jauh dari Puchong, bertempat di World Trade Centre (WTC), di ibu pejabat UMNO. Walaupun tidak tinggal di Puchong, namun saya selalu berhubung dengan orang Puchong dan ramai kenalan serta saudara-mara di sini,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI selepas melakukan ziarah kasih bersama penduduk Puchong Permai.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Puchong disandang oleh Gobind Singh Deo (DAP) selama tiga penggal bermula tahun 2008 hingga 2013.

Pada PRU14 lalu, Gobind memperoleh kemenangan besar majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (Gerakan) ketika di bawah komponen BN dan Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan (PAS) dalam saingan tiga penjuru.

Author

Pilihan Editor