KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi (telco) diminta supaya lebih kerap membuat pemantauan terhadap menara yang terdedah banjir bagi mengelak sebarang gangguan perhubungan semasa bencana itu berlaku.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, arahan itu dikeluarkan susulan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bahawa hujan dijangka berterusan dan syarikat telco juga diminta supaya lebih proaktif dalam memastikan tahap kesiapsiagaan mereka menghadapi banjir.
“Semua telco dikehendaki membuat pemantauan secara langsung dan apabila hujan, kita sudah ada peta kawasan mana yang banjir, jangan apabila sudah banjir, tidak ada bot dan penjana untuk menggantikan (bekalan kuasa elektrik) menara-menara yang terputus bekalan.
“Kita perlu lebih proaktif pada tahun ini berbanding dengan tahun lalu, supaya kalau dulu menara tergendala kerana bekalan elektrik terputus, maka liputan komunikasi juga terputus serentak dan kita tidak mahu ia berlaku seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti eSports Keluarga Malaysia di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor di sini hari ini.
Annuar berkata, walaupun bekalan elektrik terjejas, beliau berharap liputan telekomunikasi tidak terputus ketika banjir bagi membolehkan mereka yang terperangkap berhubung untuk mendapatkan bantuan.
“Saya berharap semua telco mengambil tindakan di sesetengah tempat kerana apabila banjir, jalan terputus sehingga tidak boleh membawa masuk barang tanpa dijangka, oleh itu penjana patut dibawa ke situ lebih awal.
“Saya percaya masalah ini boleh diatasi sekiranya kesiapsiagaan syarikat telco itu betul-betul serius sebab banjir bukan berlaku di seluruh negara tetapi banjir hanya berlaku di beberapa lokasi,” katanya.
Sementara itu, pihaknya juga sudah mengarahkan MCMC dan telco supaya memeriksa dan menaik taraf tahap liputan di semua pusat pengiraan undi bagi kelancaran proses tersebut.
“Saya mendapat aduan misalnya satu tempat di Baling, Kedah dan kita sudah memaklumkan kepada MCMC dan ‘booster’ sementara dihantar di tempat yang terlibat supaya ada capaian yang kuat dan semua orang boleh menjalankan tugas serta telekomunikasi tidak terganggu terutama pada 19 Nov nanti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA