KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mempamerkan perkembangan positif selepas kembali beraksi dalam pusingan pembukaan Liga Juara-Juara Trek UCI (TCL) yang berlangsung di Mallorca, Sepanyol pada Sabtu (12 November).
Selepas lama berehat berikutan pembedahan jantung April lepas, “The Pocket Rocketman” mengakhiri acara kegemarannya, keirin di tempat keempat dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Velodrom Illes Ballears.
Azizulhasni membawa pulang pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang merupakan perlumbaan terakhirnya sebelum menjalani pembedahan itu.
Pelumba Australia, Matthew Richardson menjuarai perlumbaan itu diikuti rakan senegara Thomas Cornish sementara pelumba Jepun Shinji Nakano di tempat ketiga dalam acara keirin itu.
Hanya dua pelumba teratas dalam tiga saringan berbeza layak ke final.
Juara Dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda menjuarai final sementara Stefan Botticher dari Jerman mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dan Richardson di tempat ketiga.
Sementara itu dalam acara pecut, Azizulhasni menamatkan saringan kedua pusingan pertama di tempat kedua di belakang pelumba Israel Mikhail Yakovlev. Hanya pelumba teratas daripada enam saringan berbeza melangkah ke final.
Richardson mempamerkan kehebatannya dalam acara pecut dengan menewaskan Lavreysen untuk muncul sebagai juara.
Perlumbaan TCL seterusnya akan berlangsung di Berlin, Jerman pada 19 November diikuti Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis (26 November) dan dua perlumbaan berturut-turut di London pada 2 dan 3 Disember. – BERNAMA