HomeBeritaPolitik588 NGO tolak PH, Anwar Ibrahim sebagai PM

588 NGO tolak PH, Anwar Ibrahim sebagai PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 588 gabungan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia menolak Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-10.

Pendirian ini dinyatakan menerusi satu diskusi sebagai reaksi selepas 102 NGO di bawah Jaringan NGO Melayu Islam semalam menyatakan pendirian menyokong Anwar sebagai calon PM ke-10.

Wakil 588 NGO, Dr Hasan Hamzah iaitu Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara berkata, diskusi ini turut menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM ke-10.

“Kami sepakat Ismail Sabri adalah PM yang tepat, lebih stabil dalam menyelesaikan masalah dan keresahan rakyat selepas melihat kerajaan 22 bulan, kerajaan 17 bulan, kerajaan langkah itu, kerajaan langkah ini, lompat katak dan sebagainya.

“Secara keseluruhan kerajaan selepas PRU15 haruslah benar-benar boleh stabil.

“Selepas PRU15 saya harap kita tamatkan segala isu yang boleh guris hati Melayu dan orang Islam,” katanya kepada media.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan;  Pengarah dan Ahli Lembaga Yayasan Basmi Kemiskinan, Zulhairy Jamaluddin.

Juga hadir, Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nadzilah Idris; Presiden BARA, Anas Sudin dan Pengerusi Galeri Pusaka Moyang, Wan Ahmad Arshad.

Dalam pada itu, Nadzilah berkata, jika PH menang, semua 588 NGO sepakat untuk menjadi kumpulan pendesak yang akan mementingkan hak dikembalikan kepada Melayu dan Islam.

“Tak akan satu saat pun kami benarkan Anwar jadi PM, dengan segala kerosakan yang dibuat PH ketika 22 bulan memerintah cukuplah,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan media NGO berkenaan, sebanyak 14 kes melibatkan pemimpin-pemimpin PH satu persatu ditarik balik atau dibuang begitu sahaja walaupun ada yang sudah separuh jalan dibicarakan di mahkamah dalam tempoh 22 bulan mereka memerintah.

“Agaknya kalau lima tahun berkuasa semua rakan yang melakukan kesalahan dibebaskan, semua musuh yang tidak melakukan kesalahan pula disumbat ke penjara, inilah kebimbangan yang rakyat sepatutnya gusar sebelum menyatakan sokongan.

“Kerana itu, Rafizi Ramli berani ugut KP SPRM akan memburunya selepas PH menang nanti kerana SPRM cuba jalankan siasatan ke atas harta Rafizi,” katanya.

Menurutnya lagi, berbanding Ismail Sabri, beliau tidak campur tangan dan terpaksa melihat rakan politiknya dibawa ke penjara.

Katanya, Ismail Sabri juga mendengar denyut nadi rakyat ketika keadaan mudarat dengan membenarkan pengeluaran kedua KWSP serta sekali lagi mendengar kehendak rakyat mahu kestabilan.

“Beliau membuat keputusan membubarkan Parlimen demi mendapat keadilan demokrasi dan kestabilan politik agar negara tidak berlanjutan terumbang ambing walaupun keputusannya ditentang hebat pembangkang.

“Beliau juga bukan pengkhianat parti yang dijunjungnya sejak berpuluh tahun, walaupun ada kelemahan tetapi tetap setia terhadap BN, jatuh dan bangun bersama BN,” katanya.

Author

Pilihan Editor