SERI KEMBANGAN: Sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), banyak kedai makanan dan minuman yang menawarkan promosi menarik kepada pengundi.
Perkara itu bukan sahaja memeriahkan suasana PRU15 malah, secara tidak langsung membuatkan rakyat lebih prihatin untuk tampil menunaikan kewajiban selaku anak Malaysia.
Tinjauan wartawan MEDIA VARIASI di sebuah kompleks pusat beli-belah sekitar Seri Kembangan mendapati, rata-rata kedai makanan dan minuman dipenuhi dengan kehadiran orang ramai.
Majoriti daripada pengunjung dilihat mempunyai tanda biru di jari telunjuk sebagai bukti mereka sudah membuang undi.
Permintaan yang tinggi daripada pengunjung secara tidak langsung membuatkan urusan sebilangan kedai makan dalam menyediakan makanan mengambil masa yang lama.
Seorang pengunjung, Suhaila Razali, 32, menyatakan dia terpaksa menunggu hampir satu jam untuk mendapatkan makanan yang sudah dipesan.
“Saya datang sini sebab hari inikan banyak kedai buat promosi. So, alang-alang dah pergi mengundi why not kita nikmati tawaran yang diberi.
“Tapi itulah, ramai sangat orang sampai beratur nak order pun ambil masa.
“Ini saya pesan makanan, dah dekat satu jam pun still tak dapat lagi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Seorang lagi pengunjung, Haikal Nasri, 25, menyatakan sejurus selesai mengundi bagi kerusi Parlimen Puchong, dia langsung berkunjung di pusat beli-belah.
“Hari ini banyak kedai buat promosi menarik, so saya dengan kawan-kawan taknak lepaskan peluang untuk claim benda yang murah-murah.
“Macam kat Tealive tadi, beratur punyalah panjang sebab ada promosi dua air RM15.
“Boleh ja beli waktu hari lain walau takda promo tapi memandangkan hari ini hari mengundi, kita pun nak la memeriahkan suasana,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebilangan kedai makan terpaksa memaklumkan kepada pelanggan yang baru hadir bahawa tempoh penyediaan makanan akan mengambil masa yang lama.
Tindakan itu bagi memastikan pelanggan membuatkan keputusan sama ada ingin meneruskan niat untuk makan di kedai tersebut atau sebaliknya.
Untuk rekod, pelbagai aneka promosi yang ditawarkan oleh beberapa kedai makanan dan minuman seperti syarikat McDonald, Tealive, ChatTime, Burger King, MarryBrown dan banyak lagi.