KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden kekacauan terhadap pegawai dan pemain pasukan Selangor FC malam tadi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata lelaki tersebut yang berasal dari bandar raya ini, ditahan ketika sedang melontar batu ke arah bas yang membawa pegawai dan pemain pasukan Selangor untuk pulang ke hotel penginapan selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
“Insiden itu menyebabkan kerosakan pada tingkap dan badan bas. Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan Selangor FC di Balai Polis Gong Badak malam tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (melakukan khianat) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rohaimi insiden itu dipercayai bermula apabila sekumpulan 300 penyokong Terengganu FC (TFC) berkumpul di luar kawasan pagar SSMZA, di laluan keluar penyokong pasukan Selangor.
Bagaimanapun, polis bertindak menyuraikan perhimpunan itu dan mengarahkan kumpulan tersebut beredar dari kawasan stadium.
“Semasa bas bergerak balik ke hotel penginapan dengan diiringi pihak polis, beberapa kumpulan tiba-tiba bertindak liar dengan melontar objek keras serta batu.
“Bagaimanapun, selepas pukul 2 pagi semua bas penyokong Selangor yang diiringi polis selamat memasuki laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2),” katanya.
Rohaimi berkata, beliau telah menggerakkan pasukan khas untuk mengesan beberapa suspek lain yang terlibat dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.
Beliau turut memberi peringatan kepada penyokong bola sepak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan arena sukan sebagai tempat untuk mengganggu gugat ketenteraman awam. – BERNAMA