HomeBeritaPenyatuan ummah tidak bermula dengan pengkhianatan

Penyatuan ummah tidak bermula dengan pengkhianatan

KUALA LUMPUR: “Penyatuan ummah tidak bermula dengan pengkhianatan,” tulis pengendali Facebook (FB) mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib mendakwa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun mengkhianat dan memecahbelahkan Barisan Nasional (BN) sebelum berada dalam kerajaan bersama, sebelum ini tetapi tidak berbalik kepada melihat kelemahan diri.

Datuk Seri Najib Razak

“Nak salahkan siapa lagi pula?

“Sekiranya sebelum jadi kerajaan bersama pun, dia sudah khianat dan mula pecah-belahkan BN, apakah nasib UMNO dan BN selepas 5 tahun lagi?

“Perangai pengkhianat, ‘scheme of things’ (permainan sulit) untuk sogok dan kerakusan kuasa mengakibatkan dia tidak dilantik sebagai Perdana Menteri (PM),” tulisnya dalam hantaran semalam.

Najib dalam tulisannya juga turut mencabar Ahli Parlimen (MP) Pagoh itu untuk mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada 115 MP yang kononnya menyokongnya sebelum ini daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dakwanya lagi, Muhyiddin juga dilihat seperti mengulangi perangai khianat, apabila cuba menidakkan pelantikan Anwar sebagai PM atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Dah mula lawan Istana dan Majlis Raja-Raja Melayu dah tu.

“Dia kata dia ada 115 akuan sumpah (SD) yang sokong dia jadi PM.

“Cabar dia. Suruh dia senaraikan 115 Ahli Parlimen yang memberi SD kepada dia.

“Dalam senarai ini termasuk 10 orang Ahli Parlimen BN dan 23 orang Ahli Parlimen GPS.

“Sebelum UMNO dan BN sempat bermesyuarat sekalipun, gang broker mereka sudah mula membeli SD dari sebilangan kecil Ahli-ahli Parlimen BN,” tulisnya.

Najib mendakwa, Muhyiddin turut menipu GPS bahawa BN telah bersetuju untuk bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), padahal UMNO dan BN belum pernah bermesyuarat sesama sendiri sekali pun dan tidak pernah berjumpa dengan PN atau GPS pun.

“Ahli-ahli Parlimen yang langgar arahan parti akan kehilangan kerusi Parlimen mereka yang mereka menang atas tiket BN.

“Sebab itu, 10 orang Ahli Parlimen BN yang sebelum ini berjaya dibeli oleh PN sempat memberitahu Istana bahawa mereka tarik balik SD mereka,” katanya.

Najib menambah lagi, Mahiaddin dipercayai sebenarnya tidak memahami bahawa SD tidak lagi terpakai selepas Akta Larangan Lompat Parti, berkuat kuasa.

“Dia juga tidak faham bahawa game SD ini tidak lagi terpakai setelah akta lompat kuasa berkuasa,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN itu sebelum ini menggesa Anwar untuk mengemukakan jumlah SD yang diperoleh daripada Ahli-ahli Parlimen sebagai bukti beliau mempunyai angka yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Menurut Muhyiddin, perkara itu perlu dibuktikan oleh Pengerusi PH itu dalam usaha mendapat kepercayaan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, di lstana Negara.

Author

Pilihan Editor