CYBERJAYA: Cadangan supaya PH mengecilkan Kabinet kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mempunyai kebaikan dan kekurangannya, kata Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.
Isham berkata, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin mengecilkan Kabinet, mungkin lebih baik dikecilkan daripada 31 kepada 28 menteri.
“Sebabnya begini, saya tahu cadangan mereka kecilkan Kabinet itu adalah untuk mengurangkan kos, tetapi sebenarnya kos dia tak banyak berkurang sebab penjawat awam itu pun dah ada dekat situ, kita tidak tambah jumlah penjawat awam, bangunan pun itulah dia.
“Jadi, yang kita kurangkan mungkin gaji menteri, tetapi gaji menteri cuma RM50,000, kurang satu atau dua menteri, mungkin kita jimat RM50,000, mungkin tak begitu signifikan,” ujarnya.
Mengulas lanjut dari segi tadbir urus, dahulu Isham dalam kerajaan 20 tahun jadi beliau tahu, penggabungan kementerian hanya akan menjadikan kementerian tersebut terlalu besar.
Jelasnya, apabila terlalu besar, masalahnya nanti adalah dari segi pelaksanaan akan menjadi sukar walaupun penjawat awamnya dibayar sama sahaja kerana kesuluruhan proses ini hanya penyusunan semula.
“Dalam undang-undang kita, sama di England, kita ada banyak yang dipanggil ‘secondary legislation’ dengan ‘delegated legislation’ di mana kita gubal akta di Parlimen untuk ‘primary legislation’.
“Tetapi benda itu tidak terperinci jadi banyak kuasa yang diserahkan kepada menteri atas budi bicara di bawah ‘secondary legislation’ dan ‘delegated legislation’.
“Jadi budi bicara menteri ini penting, kalau kita banyak sangat bidang kuasa letak bawah satu menteri disebabkan penggabungan kementerian, maka semak dan imbangnya akan menjadi tak efisien, selepas itu dia akan menjadi terbeban,” katanya.
Apabila kementerian digabungkan jadi budi bicaranya akan menjadi terlalu banyak dan ini tidak bagus untuk tadbir urus kementerian itu, kata Isham lagi.
Isham berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.