CYBERJAYA: Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali melihat secara keseluruhannya Kabinet baharu dalam Kerajaan Perpaduan sebagai Kabinet yang kompak dan mempunyai tanggungjawab yang besar.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, dilihat orang yang menyertai Kabinet ini kebanyakannya berpengalaman dan beberapa calon baharu tetapi mereka ini ahli politik yang sudah teruji sebelum ini.
Menurutnya, sudah pastilah akan ada banyak kritikan kononnya Kabinet ini mengambil kluster mahkamah kerana pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Tetapi kita harus faham bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada pilihan kerana beliau bukanlah Perdana Menteri majoriti, beliau hanya ada 82 kerusi Parlimen (PH).
“Dan perjanjian Anwar dengan parti-parti yang menyertai kerajaannya adalah pemilihan anggota Kabinet daripada anggota-anggota yang menyertai itu mestilah daripada cadangan ketua parti.
“Saya lihat, dengan perancangan dan sasaran Datuk Seri Anwar sedang rangka sekarang, saya boleh katakan ini adalah kabinet bekerja yang fokus kepada pemulihan negara,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Ahad.
Ketika dihubungi untuk mengulas mengenai Kabinet ini, beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini bukanlah kerajaan PH atau BN atau apa-apa jenis kerajaan parti.
Tegasnya, kerajaan ini adalah kerajaan di mana penyertaan parti-parti politik yang mana asalnya mereka adalah musuh.
“Tetapi di atas sebab untuk mengatasi masalah negara, mereka meletakkan di tepi dahulu perbezaan itu, menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Jadi, dalam konteks pembentukan Kabinet ini, saya melihat Datuk Seri Anwar mengambil pendekatan mengutamakan kepentingan negara sekarang ini, oleh kerana negara ada masalah dari segi ekonomi; kos hidup rakyat yang tinggi.
“Maka, beliau mewujudkan Kabinet yang kompak dan kecil, dengan jumlah yang signifikan, dengan keadaan ekonomi negara, tujuannya adalah menambah keberkesanan Kabinet pada masa yang sama mengurangkan kos saraan yang ditanggung kerajaan,” jelasnya lagi.
Asalnya musuh, kini bersatu bawah Kerajaan Perpaduan [VIDEO]