HomeGaya HidupKepok Kaw anak muda raih RM2. 6 juta setahun

Kepok Kaw anak muda raih RM2. 6 juta setahun

KUALA LUMPUR: Hikmah musibah pandemik COVID-19 telah mengubah sisi hidup manusia di dunia ini, manusia mula bergantung rezeki kepada Tuhan Yang Esa bukan lagi menjadi hamba kepada manusia untuk mendapat sesuap nasi.

Bagi golongan dewasa apabila mereka dibuang kerja, desakan hidup menyebabkan mereka jadi kreatif dan timbul idea di luar kotak contohnya daripada juruterbang kepada penjual nasi lemak.

Bekas menteri memandu Grab, pramugari jual sup utara dan pelbagai lagi kisah survival masyarakat untuk kelangsungan hidup mereka.

Bagi golongan muda pula, fasa Perintah Kawalan Pergerakan dengan sekolah ditutup mereka mulai belajar memanfaatkan apa yang ada dalam talian dan disitulah mereka mula menemui sesuatu iaitu boleh mendapat pendapatan dan segulung Ijazah bukan lagi penentuan untuk mengubah status kehidupan.

Antara yang berjaya menemui hikmah pasca pandemik COVID-19 adalah sekumpulan anak muda berusia 18 hingga 25 tahun, mereka berjaya meraih RM2.6 juta hasil jualan setahun menerusi produk keropok lekor sejuk beku, Kepok Kaw.

Kepok Kaw yang diasaskan oleh Aaron Naeem Zaidi, 30, sebagai perniagaan mereka.

Menariknya konsep jualan perniagaan mereka bukan biasa-biasa, dan tidak hairanlah usaha ini digerakkan oleh lelaki sahaja kerana ia menuntut ketahanan diri di bawah cuaca panas dan hujan, bergerak dari satu tempat ke satu tempat (mobil), lasak dan kreatif dalam memujuk rayu.

Ketua Pemasaran Kepok Kaw, Naqib Norazamn (kiri) bersama pekerja dan pelanggan keropok lekor

Ketua Pemasaran Kepok Kaw Sdn Bhd (Kepok Kaw), Naqib Norazman, 23, berkata, pada awalnya dia dan Aaron Naeem sahaja yang menjalankan perniagaan dengan menjadi pembekal keropok lekor sejuk beku untuk dipasarkan sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, hari pertama jualan pada Januari lalu memungut kira-kira RM300 hingga RM500 dan kini sudah mencecah jualan 100,000 unit bekas dengan nilai RM2.6 juta bagi tempoh hampir setahun.

“Pekerja kami kini seramai 45 orang bekerja sepenuh masa, tetapi ada yang beroperasi di satu tempat, ada yang mobil sekitar Selangor di Ampang, Shah Alam, Melawati dan Kajang.

“Perniagaan kami 90 peratus secara fizikal dan selebihnya online (dalam talian). Kami banyak menumpukan lokasi pasar pagi, stadium, program, deretan kedai dan pusat beli-belah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Naqib berkata, pekerja akan membawa beberapa stok gabus keropok lekor yang setiap satunya mengandungi 128 unit bekas, dan setiap unit berharga RM35 mengandungi 50 batang keropok, beserta sos.

“Ikan yang digunakan adalah berdasarkan ikan sardin dan ikan tamban. Kalau tak sedap, kami boleh refund (wang dipulangkan semula),” katanya.

Katanya, Kepok Kaw membuka peluang kepada anak muda di luar sana untuk menyertai perniagaan mereka dengan pakej yang disediakan tanpa perlu modal.

“Sesiapa yang nak menjana pendapatan tanpa modal, kami ada untuk yang berminat khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Author

Pilihan Editor