DOHA: Tindakan seorang pegawai media Brazil mengejutkan orang ramai apabila dia yang pada mulanya memegang seekor kucing kemudian ‘melemparkan’ haiwan itu ke lantai.
Ketika kejadian, pegawai berkenaan berada bersebelahan pemain pasukan Brazil, Vinicius Jr, lapor portal Fox Sport.
Sebelum insiden berlaku, Vinicius sedang menjawab soalan diajukan wartawan dan pada ketika itu, seekor kucing melompat ke meja lantas membuatkan bintang Brazil tersebut geli hati pada sidang media itu.
Namun, pegawai media berkenaan mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan mengangkat kucing itu dengan mencengkam dan melemparkannya ke lantai dari meja sidang media.
Tindakan pegawai itu bukan sahaja membuatkan para pengamal media yang berada di kawasan berkenaan terkejut, malahan warga maya turut berasa ‘geram’ atas perlakuannya yang kelihatan biadab.