CANBERRA: Bintang tenis yang telah bersara, Ash Barty, sekali lagi dinobatkan sebagai penerima The Don Award, anugerah kecemerlangan sukan Australia, lapor Xinhua.
Pada acara tahunan Sport Australia Hall of Fame pada Khamis, Barty menjadi individu ketiga yang memenangi anugerah itu yang dinamakan sempena nama pemain kriket handalan Don Bradman.
Selaku pemain nombor satu dunia, Barty pada Januari muncul sebagai anak jati Australia pertama yang menjuarai perseorangan Terbuka Australia sejak 1978.
Kira-kira dua bulan kemudian, juara Grand Slam tiga kali itu mengejutkan dunia sukan tenis dengan mengumumkan persaraannya pada usia 25 tahun.
“Tahun ini pastinya Terbuka Australia paling menyeronokkan saya, keputusan tidak penting, tiada kaitan dengannya. Saya rasa bebas. Saya bermain tanpa memkirkan keputusannya, saya bermain seperti kanak-kanak kecil,” kata Barty pada malam Khamis.
The Don Award dianugerahkan kepada atlet atau pasukan yang paling memberi inspirasi kepada Australia.
Barty yang sebelum ini memenangi anugerah sama pada 2019, menyertai pemenang pingat emas Olimpik Steve Hooker dan Sally Pearson sebagai pemenang berganda. – BERNAMA