HomeBeritaPengerusi FINAS ditamatkan perkhidmatan serta-merta

Pengerusi FINAS ditamatkan perkhidmatan serta-merta

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini MEDIA VARIASI menemubual Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Seri Zurainah Musa yang meluahkan hasratnya untuk membawa karyawan ke peringkat antarabangsa seperti majlis berprestij Oscar.

Zurainah ditemui ketika pelancaran Rumah Artis di mana pusat sehenti pameran dan jualan barangan antik, vintaj yang eksklusif tetapi harga B4O.

Namun mengejutkan apabila dimaklumkan beliau dibatalkan perkhidmatannya, berkuat kuasa Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mendedahkan butiran pemecatan itu.

Beliau berkata, sebab pembatalan tidak dinyatakan secara khusus dalam surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi Digital.

Dalam surat tidak ditulis apa-apa sebab, cuma menyatakan dibatalkan perkhidmatan sebagai Pengerusi FINAS berkuat kuasa Khamis.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sesiapa akan menggantikan Zurainah. Cuma, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil sudah ada beberapa calon bagi mengisi kekosongan jawatan ini.

“Sesiapa saja yang dilantik, saya dan penjawat awam di FINAS akan memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya berbesar hati jika pengerusi baharu seorang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan tinggi, personaliti menakjubkan, berpengetahuan, berwawasan, faham mengenai industri perfileman, mahir dengan urus tadbir kerajaan dan berpengalaman,” katanya.

Dalam masa sama, Md Nasir merakamkan ucapan penghargaan atas sumbangan dan jasa yang diberikan Zurainah.

Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan penamatan kontrak Zurainah berkaitan skandal penyelewengan dana FINAS yang dibangkitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan bekas Ahli Perbadanan Finas, Datuk Seri Eizlan Yusof, baru-baru ini.

Eizlan mempersoalkan apa kaitan projek Pameran Hantu Filem anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang diadakan di Encore Melaka.

Menerusi video dimuat naik dalam media sosial, Eizlan mendakwa, projek itu menelan belanja sehingga RM40,000, malah membabitkan seorang Ahli Perbadanan FINAS yang berkepentingan dalam persatuan.

Author

Pilihan Editor