HomeGaya HidupDuta Romania kagum cerita Melayu dalam lukisan Ismail Embong

Duta Romania kagum cerita Melayu dalam lukisan Ismail Embong

JIKA di Tanah Melayu kita ada sejarah Raja Bersiong atau nama sebenarnya Raja Ong Maha Perita Deria iaitu raja yang didakwa memerintah Kerajaan Kedah Tua di Lembah Bujang.

Beliau seorang raja yang zalim menghisap darah rakyat dari Kedah yang ditulis daripada Hikayat Merong Mahawangsa.

Istana Raja Bersiong di Kedah. – Foto: NSTP

Namun kisah raja zalim penghisap darah rakyat bukan sahaja ada di Tanah Melayu, kisah yang sama juga ada di Romania iaitu Dracula.

Dracula atau Vlad Dracul III, Prince of Wallachia atau lebih dikenali sebagai Vlad the Impaler adalah seorang pahlawan perang zaman kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fatih dari Empayar Turki Uthmaniyyah.

Dalam bahasa Romania, “Dracul” bererti naga manakala “ulea” pula bermaksud “anak dari”.

Gabungan kedua-dua perkataan ini iaitu Draculea atau dalam bahasa Inggerisnya, yang bererti anak dari sang naga.

Istana Dracula di Romania. – Foto: Google

Namun setelah berabad-abad sejarah meninggalkan kita, kini Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu dan Romania sedang giat mempromosikan Pelancongan Seni Warisan bagi memperkenalkan keunikan masing-masing.

Hubungan bilateral antara Malaysia, Romania sudah bermula tahun 1969.

Namun kunjungan Duta Romania ke Malaysia dan Brunei, Nineta Barbulescu ke galeri Pelukis Negara, Ismail Embong pada pagi Selasa adalah bertujuan menyatukan dua negara yang berbeza bangsa, budaya dan agama.

Kunjungan itu diadakan atas rasa kagum Nineta terhadap usaha Ismail yang dikenali sebagai Pak Mail mengangkat sejarah Tanah Melayu menerusi ratusan karya agungnya.

Hampir tiga jam masa diluangkan merangkumi perkongsian kisah sejarah negara masing-masing dan bentuk kerjasama dua hala yang boleh dibuat.

Duta Romania ke Malaysia dan Brunei, Nineta Barbulescu merakam foto lukisan Pak Mail

Nineta berkata, kesungguhan, dedikasi Pak Mail itu agar sejarah di Tanah Melayu tidak dilupakan oleh generasi baharu amat luar biasa.

“Adalah lebih mudah jika kita libatkan universiti sebagai platform untuk menghubungkan mungkin ada satu kerjasama boleh dibentuk untuk mengetengahkan usaha Pak Mail ini.

“Mungkin boleh dimulakan dengan universiti dari Romania dan Malaysia.

“Karya seni Pak Mail amat teliti, ada nilai cerita, luar biasa dan jika usaha ini diteruskan antara dua hala pasti mampu membantu sektor pelancongan, seni warisan Malaysia, Romania.

“Romania dikenali dengan kisah Dracula namun di negara kami terdapat banyak tinggalan sejarah, hasil seni sehingga ibu kota Romania digelar Paris Timur,” katanya dalam pertemuan berkenaan.

Di galeri berkenaan Pak Mail mengambil peluang menunjukkan rentetan sejarah Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang dilukisnya sejak 30 tahun lalu sehingga kini.

Lukisan potret bermula daripada Sang Sapurba merupakan tokoh mitos legenda keturunan dari Iskandar Zulkarnain.

Dalam Sulalatus Salatin, disebutkan melalui tokoh ini semua raja-raja Melayu diturunkan.

Ia disusun mengikut jalan cerita atau ‘story board’ sehingga 500 kaki panjangnya, menjadikannya lukisan terpanjang di dunia.

Pak Mail menunjukkan karya lukisan oleh Emma Maembong, Shikin dan Chacha

Pak Mail juga menunjukkan potret Raja-raja Singapura dan Melaka selain membawa Duta berkenaan ke ruang galeri karya sentuhan dari Emma Maembong, Shikin, Chacha.

Sebelum beredar, Nineta memberitahu akan mengusahakan satu kerjasama agar karya agung Pak Mail ini mampu dilihat di mata dunia khususnya oleh warga Romania.

 

Author

Pilihan Editor