CYBERJAYA: Kerajaan negeri Selangor menghulurkan sumbangan RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu menguruskan banjir yang semakin buruk di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor turut berduka cita dengan nasib yang menimpa rakyat di dua negeri tersebut yang dilanda musibah banjir.
“Bagi meringankan beban atas musibah yang melanda, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022.
“Sumbangan berbentuk bantuan kewangan buat Kelantan dan Terengganu yang berhadapan musibah banjir dengan sejumlah RM500,000 setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, kerajaan negeri menerusi Skuad PANTAS serta SERVE bersedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pasca banjir sebaik sahaja keadaan mengizinkan kelak.
“Setakat jam 8 pagi hari ini, NADMA melaporkan seramai 25,353 orang di Kelantan dan 37,021 di Terengganu telah menjadi mangsa musibah ini,” katanya.
Tambah Amirudin, kesemua acara Sambutan Ambang Tahun Baharu peringkat Negeri Selangor dibatalkan.
“Keputusan itu dibuat demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tragedi tanah runtuh Batang Kali,” maklumnya.