CYBERJAYA: Pengusaha dan pekerja di premis makanan akan diberi nasihat untuk memakai pelitup muka oleh penguat kuasa selama sebulan sebelum tindakan dikenakan kepada yang tidak memakainya dikuatkuasakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, ini adalah susulan pelaksanaan arahan pelitup muka kepada peniaga adalah diwajibkan di seluruh premis di negeri Selangor.
Menurutnya, pihaknya akan cuba melakukan sebaik mungkin pemantauan berjadual ke atas premis-premis tersebut memandangkan Sepang mempunyai banyak premis perniagaan dan pekerja.
“Pemantauan akan dibuat secara berjadual, kita tidak cukup kekuatan kakitangan kalau kita nak buat setiap hari.
“Jadi kita akan ada jadual di mana-mana kawasan yang akan kita buat pemeriksaan, jadi kalau boleh pada peringkat ini kita cuba untuk memberi nasihat dahulu.
“Selepas sebulan memberi nasihat, mungkin kita boleh memberi tindakan yang bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang yang ada,” kata Abd Hamid dalam sidang media pada Selasa.
Kata Abd Hamid, MPSepang merancang untuk membentuk pasukan pemantauan yang terdiri daripada tiga pihak iaitu Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguat Kuasa dan Jabatan Kesihatan.
“Jadi kita harap pemilik-pemilik premis yang diberi lesen oleh Majlis supaya dapat mematuhinya, perkara tersebut akan dimasukkan ke dalam syarat-syarat lesen,” katanya lagi.
Tambahnya, denda bagi yang tidak memakai pelitup muka adalah mengikut undang-undang kecil pelesenan iaitu tidak melebihi daripada RM1,000.
“Tetapi kalau tidak memakai pelitup muka didenda RM1,000 mungkin akan membebankan peniaga.
“Kita lihat, kita cuba sebaik mungkin, sebab saya kira tidak ada masalah untuk peniaga-peniaga mengawal pekerja mereka untuk mematuhi peraturan ini,” ujarnya penuh harapan.