HomeBeritaViralSemua salah Khairul Aming! Stok bahan Kerabu Maggi Thai ‘sold out’?

Semua salah Khairul Aming! Stok bahan Kerabu Maggi Thai ‘sold out’?

BARU-BARU ini, usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, memuat naik sebuah video memaparkan cara memasak Kerabu Maggi Thai menerusi Instagram rasminya.

Video yang mendapat hampir 200,000 tanda suka itu nyata memberi penangan buat warga Malaysia sehingga jualan bahan membuat Kerabu Maggi Thai seperti dikongsi Khairul Aming itu dilihat semakin laris di pasaran.

Malah, ada juga bahan seperti produk mi segera jenama Serda dan sos ikan yang selama ini kurang menjadi perhatian umum akhirnya ‘sold out’ gara-gara resepi Kerabu Maggi Thai Khairul Aming.

Menjengah di ruangan Insta Story Khairul Aming, turut dilihat beberapa perkongsian daripada pengikut-pengikutnya yang mencuba resepi Kerabu Maggi Thai itu.

Ada juga yang berseloroh dengan mengatakan penangan Khairul Aming amat dahsyat sehingga membuatkan jualan produk maggi yang digunakannya dalam video masakan itu kini mendapat sambutan tinggi.

Dalam pada itu, ada juga yang turut berkongsi paparan hidangan Kerabu Maggi Thai yang dihasilkan mereka mengikut resepi pengusaha Sambal Nyet itu.

Untuk rekod, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, amat popular di media sosial dengan hantaran video masakannya yang bersahaja.

Selebriti media sosial yang popular dengan ungkapan, ‘Hey what’s up guys!’ itu kini memiliki hampir 3.5 juta pengikut di Instagram.

Author

Pilihan Editor