JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat tindakan seorang anggota Balai Polis Taman Johor Jaya di sini, yang dipercayai membenarkan seorang rakannya yang juga orang awam memegang senjata api ketika bertugas semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2.43 pagi Rabu, menerusi ciapan gambar di Twitter yang dimuat naik oleh pemilik akaun menggunakan nama @evvok.
Beliau berkata, gambar itu memaparkan seorang individu berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok dengan seorang lelaki awam sedang memegang senjata jenis HK-MP5.
“Hasil siasatan mendapati anggota berpakaian seragam tersebut bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan gambar itu diambil di hadapan balai tersebut oleh seorang lagi lelaki awam yang juga rakannya.
“Ketika gambar diambil, anggota terbabit sedang bertugas di pos pengawal dan ketiga-tiga mereka berusia 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati tujuan gambar itu diambil adalah sebagai kenangan antara mereka namun ia dipercayai telah dimuat naik di media sosial oleh seorang daripada rakan anggota itu.
Mohd Sohaimi menegaskan tindakan anggota terbabit membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan dan melanggar tata kelakuan.
Katanya, kes itu sedang disiasat lanjut oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Seri Alam dan tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – BERNAMA