PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara boleh melakukan penjimatan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kebocoran boleh dihentikan sekiranya amalan rasuah dibanteras di semua peringkat termasuk mengubah cara lama iaitu tanpa campur tangan politik atau kepentingan peniaga besar dalam perolehan kerajaan.
“Kita mengalami kebocoran yang tinggi. Belum dua bulan (saya) di Kementerian Kewangan sudah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion yang boleh diselamatkan,” katanya ketika berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2023 bertema ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, daripada pengalamannya, ketirisan dapat dikurangkan sekiranya hal-hal perolehan diserahkan kepada pihak yang berupaya dalam isu seperti banjir atau pembelian senjata.
“Biarkan urusan (perolehan) untuk tentera udara, laut dan darat dipertanggungjawabkan mengusulkan jenis barangan terbaik, dan runding antara kerajaan tanpa campur tangan dari politik atau kepentingan peniaga,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, pendekatan dalam Bajet 2023 seharusnya adalah untuk memulihkan keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mempercepatkan kelulusan pelaburan.
Memberikan contoh satu usul untuk memperkenalkan ladang organik oleh sebuah syarikat yang mengambil masa dua tahun mendapat kelulusan, Anwar berkata, perkara seperti itu perlu dihentikan kerana ekonomi hijau merupakan keutamaan untuk kemampanan ekonomi.
“Keupayaan memberi kelulusan harus lebih pantas dan ketua-ketua jabatan dipertanggungjawabkan sepenuhnya sekiranya berlaku kelewatan dan berdepan tindakan kerana menjejaskan ekonomi negara,” katanya.
Semakan semula Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari ini di Dewan Rakyat. – BERNAMA