KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), meluahkan dilema yang dihadapi majikan jika gagal memperoleh pekerja asing secara sah.
Perkara itu berikutan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam bidang penyediaan makanan dan restoran.
Presiden baharu MAICCI Datuk N Gobalakrishnan berkata, apabila berlaku kekurangan pekerja di sektor perkhidmatan seperti restoran, majikan tidak memiliki banyak pilihan untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Majikan terpaksa menggajikan pekerja asing yang masuk secara tidak sah oleh ejen, atau dari bidang lain.
“Pekerja haram ini biasanya menuntut gaji dua kali ganda kerana tahu majikan mereka kekurangan pekerja.
“Gaji yang biasa dibayar RM70 sehari kepada pekerja asing sah manakala RM150 sehari kepada pekerja haram.
“Pertambahan kos ini terpaksa dikenakan ke atas pelanggan.
“Bagi mengelakkan senario tidak sihat ini berlaku, Kerajaan Perpaduan diminta untuk mempermudahkan cara dalam memohon pekerja asing.
“Isunya proses yang boleh selesai dalam sebulan tetapi dua tahun pun belum tentu selesai walaupun semua proses telah dibuat seperti pembayaran levi dan sebagainya,” katanya pada sidang media mengenai isu pekerja asing di MAICCI, Bukit Ledang, hari ini.
Dalam pada itu, Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, jumlah pekerja asing yang diperlukan bagi setiap sektor adalah dalam kuantiti yang sedikit sahaja.
“Sebagai contoh sebuah restoran perlu cukup pekerja untuk tiga syif operasi, bagi kedai runcit hanya dua pekerja asing sahaja diperlukan.
“Hanya lima peratus sahaja dari permohonan keseluruhan yang diluluskan kerajaan dalam bidang restoran, itupun sangat susah diluluskan,” katanya.
Tambah beliau, isu pembekuan pekerja asing sejak 12 tahun lalu antaranya dalam sektor barang lusuh, tekstil, pasar mini, gunting rambut, barang kemas, borong dan runcit perlu dikaji semula.
“Jika mahu ekonomi berkembang dengan baik, jangan ada sekatan pekerja asing ke sektor berkenaan kerana ia membabitkan kemahiran yang dibawa dari luar untuk Malaysia melainkan ada cara untuk menarik pekerja tempatan turut terlibat dalam sektor ini.
“Kami berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat isu ini dalam skop yang lebih luas,” katanya.