KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, pada 17 Januari lepas.
Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Feb ini.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Feb secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.
Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.
Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. – BERNAMA