KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan sebanyak RM3.1 juta bagi program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) untuk tempoh suku pertama tahun ini dengan nilai penjimatan RM300,000.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, sepanjang tahun lepas, JTDL mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM16.29 juta melibatkan 7,586 usahawan di 1,031 lokasi seluruh negara sekali gus merekodkan nilai penjimatan RM1.6 juta.
“JTDL bertujuan membantu petani memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna agar pengguna dapat menikmati penjimatan harga yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat program JTDL yang dirasmikan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim di Ibu Pejabat FAMA di sini hari ini.
Mengulas mengenai sambutan JTDL hari ini yang bertemakan ‘Selangor Day’, Abdul Rashid berkata, program sehari itu mencatat kehadiran lebih 3,000 pengunjung dan pelbagai produk pertanian dibawa termasuk durian, ‘rose melon’, telur ayam, ayam, minyak masak serta aneka makanan popular Selangor.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata, FAMA menyasarkan lebih 1.4 juta bekalan telur ayam akan dipasarkan setiap minggu di seluruh negara melalui Program Intervensi Telur yang bermula Disember lepas sebagai usaha mengimbangi bekalan di pasaran.
Beliau berkata menerusi program itu, FAMA akan mengambil telur ayam dari kawasan pantai barat seperti Melaka untuk dibawa dan dipasarkan di seluruh negara terutama di Kelantan, Terengganu serta Pahang yang terkesan dengan masalah bekalan akibat banjir.
Mengulas mengenai bekalan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Abdul Rashid berkata, pihaknya menjangkakan permintaan tinggi bagi beberapa komoditi utama bahan makanan seperti kubis, tomato, kelapa, lobak, timun, cili dan ubi kentang.
Bagi bekalan kubis, Abdul Rashid berkata, FAMA mendapatkan bekalan melalui kerjasama antara anak syarikatnya FAMA Corporation Sdn Bhd dengan pihak industri atau pengimport dari China dan Indonesia serta pembekal dari Cameron Highlands.
“FAMA sentiasa mengatur bekalan bahan makanan berkenaan melalui kerjasama dengan pengimport bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan komoditi ini diedarkan melalui 40 pusat operasi FAMA  di seluruh negara serta outlet peruncitan FAMA selain peruncit-peruncit tempatan.
Menurut Abdul Rashid harga jualan bagi komoditi itu ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – BERNAMA