KUALA LUMPUR : Jenama perniagaan Wawa Cosmetics diusahakan pasangan selebriti, Aeril Zafril dan Wawa Zainal, terus berkembang positif dengan penghasilan produk yang menepati citarasa pelanggan setia dan peminat mereka tersendiri.
Bagi menghargai kesetiaan pelanggan, Wawa Cosmetics melancarkan wangian Wawa X Rozyana, Asmaradana – Lagenda Kembali dengan keluaran versi saiz botol lebih besar.
Projek itu merupakan kesinambungan kerjasama bersama pempengaruh, Rozyana Roslan yang mempunyai lebih 5 juta pengikut di TikTok, yang diwujudkan pada September 2022.
Wawa berkata, disebabkan permintaan pelanggan terlalu tinggi terhadap minyak wangi Asmaradana sehingga terjual lebih 600,000 unit, syarikat mengeluarkan saiz botol wangian lebih besar.
“Asmaradana- Lagenda Kembali edisi terhad sebenarnya, tapi sudah habis terjual 40,000 unit sebelum pelancaran dibuat.
“Jadi, di situ sebenarnya orang dah yakin nak beli minyak wangi Wawa Cosmetics dengan kerjasama pempengaruh seperti Rozyana,” katanya pada sidang media pelancaran minyak wangi saiz baharu, Asmaradana ‘Lagenda Kembali di Rumah Tangsi, di sini.
Minyak wangi Asmaradana sebelum ini didatangkan dengan tiga jenis wangian iaitu Seri Pagi, Syurga Malam dan Mengundang Cinta dengan saiz botol masing-masing pada 9ml dalam seunit kotak berharga RM21.90.
Saiz terbaharu kali ini adalah pada 30ml sebotol, dengan harga lebih berpatutan iaitu RM39 seunit kotak.
Katanya, jika pembelian dibuat bagi tiga produk terbaharu Asmaradana itu, pelanggan akan diberikan harga diskaun istimewa.
Bagaimanapun, Wawa berkata, Wawa Cosmetics juga merancang untuk mengembangkan lagi koleksi minyak wangi dengan mengeluarkan produk wangian lelaki dengan kolaborasi bersama suami tercinta, Aeril X Wawa.
“Mungkin kita akan banyakkan lagi koleksi wangian Wawa Cosmetics, sebab ramai yang bagi ‘feedback‘ wangian minyak wangi Wawa tahan lama dan tersendiri.
Sementara itu, Aeril berkata, rekod kerjasama yang baik sepanjang bekerjasama dengan Rozyana antara sebab syarikat memilih untuk meneruskan usahasama bersama pempengaruh itu.
“Ini antara cara untuk menghargai peniaga kami, memajukan lagi bisnes mereka sekaligus membantu ejen menjana pendapatan.
“Lagi satu, kita mahu sentiasa menjenamakan imej produk Wawa Cosmetics,” katanya yang turut bercadang mahu berkolaborasi dengan selebriti juga pada masa akan datang.