HomeBeritaViralSokongan keluarga buat Siti Aishah 'steady' beraksi tarian singa

Sokongan keluarga buat Siti Aishah ‘steady’ beraksi tarian singa

GEORGE TOWN: Gara-gara kerap menonton persembahan abang sulung dalam tarian singa membuatkan Siti Aishah Mohd Farulnizam, 17, meminati untuk sertai dalam persembahan tarian berkenaan.

Siti Aishah yang baru-baru ini tular di media sosial dek video tarian singa yang dipersembahkannya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina itu merupakan seorang pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sacred Heart.

Menurut Siti Aishah, minatnya untuk mempelajari seni tarian tersebut semakin menebal apabila bapanya, Mohd Farulnizam Mohd Fisah dan ibu, Suzana Dhazak @ Razak serta seluruh keluarga memberi sokongan kepadanya.

Tambahnya, dengan kelebihan berbahasa Mandarin, dia tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan semua ahli persatuan sekali gus memudahkannya memahami dengan lebih cepat semua yang diajar jurulatih Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu, Loh Woon Sim, lapor Sinar Harian.

“Masa umur saya enam tahun, saya selalu tengok abang masuk pertandingan tarian singa. Dari situ, timbul minat saya untuk mencuba. Saya minta kebenaran daripada ayah, dia pun bagi, tak ada bantahan.

“Mula-mula risau juga ayah tak benarkan sebab saya perempuan, tetapi alhamdulillah, bukan sahaja ayah, ibu dan keluarga pun sokong.

“Saya mula daripada umur enam tahun. Mula-mula tu, saya belajar main alat muzik dahulu antaranya gong, gendang dan sebagainya,” katanya.

Meskipun dia bukanlah dari bangsa Cina namun aksi yang dipersembahkan Situ Aishah nyata mencuri tumpuan orang ramai.

Selain itu, ketangkasannya menari dengan tarian yang memukau mendapat sorakan meriah daripada penonton yang berada berdekatan dengan lokasi majlis tersebut terutamanya apabila dia ‘melepaskan’ kostum yang dipakai.

Sementara itu, bapa Siti Aishah, Mohd Farulnizam mengakui berbangga apabila melihat keenam-enam anaknya dapat menguasai seni kebudayaan tarian singa itu dan mereka menjadi bukti seni budaya merentasi batasan kaum di negara ini.

Menurutnya, kesemua enam anaknya, Mohammad Firdaus,19; Siti Aishah, 17; Mohd Faiz, 16; Mohamad Fahmi, 13; Siti Alya, 9, dan Siti Aleesa, 7, mahir dengan seni persembahan tarian singa memandangkan mereka merupakan ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang.

“Kesemua anak saya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan dan mereka mahir berbahasa Mandarin. Saya hantar anak sulung untuk belajar tarian singa adalah untuk mendisiplinkannya. Tidak sangka pula, minatnya itu diikuti oleh adik-adiknya pula.

“Bagi saya, lebih baik anak-anak suka dengan aktiviti seperti ini daripada mereka buat aktiviti yang tidak berfaedah. Saya memang tidak risau anak-anak menjalani latihan kerana semua ahli persatuan saya kenal. Malah, mereka yang akan datang ambil dan hantar anak-anak untuk latihan,” jelasnya.

Farulnizam yang juga seorang peniaga berkata, dia memilih tarian singa sebagai aktiviti anak-anaknya untuk menjadikan mereka lebih berdisiplin.

“Anak-anak lebih berdisiplin apabila belajar seni tarian ini kerana di dalam seni ini, ia menerapkan disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain-pemain tarian.

“Mereka perlu menepati masa, tak boleh merokok dan perlu menghormati semua orang tanpa mengira kaum dan agama. Saya bangga apabila anak-anak amat berminat dalam seni ini tanpa paksaan.

“Walaupun begitu, agama sendiri tetap menjadi keutamaan. Tidak ada salah kita mempelajari budaya kaum lain, selagi ia tidak bertentangan dengan Islam,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor