HomeBeritaPolis rekod 11 keterangan individu bantu siasatan kes rakaman pelanggan salin baju

Polis rekod 11 keterangan individu bantu siasatan kes rakaman pelanggan salin baju

KUALA LUMPUR: Polis merekod keterangan 11 individu bagi siasatan video tular berhubung rakaman kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, terdapat empat video diterima mengenai kes berkenaan.

“Setakat ini, 11 direkod keterangan membabitkan kakitangan pusat beli-belah terbabit dan pihak penyelenggaraan.

“Kita juga ada terima satu laporan dibuat mangsa seorang wanita pada semalam (Selasa),” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Tambah beliau, pihaknya juga kini sedang menunggu laporan hasil analisis kesemua video itu daripada pihak Cyber Security.

Katanya, siasatan masih dijalankan termasuklah individu yang bertanggungjawab memasang kamera di bilik persalinan selain mengesan pemilik akaun media sosial terbabit.

“Kita gesa semua mangsa dalam rakaman terbabit untuk tampil bantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Untuk rekod, sebelum ini tular sebuah video berdurasi 11 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter, Nishae yang memaparkan kejadian rakaman video daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan yang terletak dalam sebuah pusat beli-belah.

Video berkenaan nyata mengundang kemarahan warga maya serta membuatkan sebilangan menjadi takut untuk menukar pakaian di bilik persalinan yang mempunyai akses untuk orang awam.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Author

Pilihan Editor