KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu industri kenaf negara merebut peluang di pasaran antarabangsa menerusi produk hasil tempatan, bersesuaian dengan tuntutan pasaran dan keadaan ekonomi semasa.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata usaha itu, mampu menjadikan produk kenaf Malaysia sebagai antara yang terbaik, di pasaran global.
“Potensi industri kenaf ini amat besar dan saya yakin potensi industri kenaf di Malaysia mampu berkembang dengan jayanya dan bergerak jauh ke hadapan, bagi mencapai keberhasilan yang memberangsangkan.
“Transformasi berterusan dalam usaha memastikan industri kenaf terus selari dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0),” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) 2021-2025 dan Anugerah Penanam, Industri dan Inovasi Kenaf 2021, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kenaf mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi baharu yang mampan kepada negara.
“Produk-produk berasaskan kenaf mempunyai ciri-ciri unik dan mesra alam dikenal pasti mampu memberi nilai ekonomi yang tinggi dalam industri berasaskan pembinaan, automotif, bio-komposit dan kesihatan.
“Kementerian melalui LKTN juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti ke arah pengkomersialan kenaf, terutamanya aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D),” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, Pelan Strategik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2021-2025 yang dilancarkan, merupakan dokumen perancangan strategik jangka panjang LKTN merangkumi strategi, pelan tindakan, indikator dan sasaran, bagi tempoh lima tahun akan datang yang sejajar dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030), bagi mencapai pengeluaran serta keberhasilan yang ditetapkan.
“Tujuh Teras Strategik merangkumi Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran, Keterangkuman, Pelesenan dan Penguatkuasaan serta Penyampaian Perkhidmatan Berkesan, akan membantu LKTN melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dan menangani cabaran berbangkit,” katanya.-BERNAMA