KUALA LUMPUR: Pengusaha makanan dan minuman perlu bekerjasama dalam menjayakan seruan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup menerusi pelaksanaan Program Menu Rahmah.
Penasihat Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin SeMalaysia (Sahabat Tomyam), Che Mamad Che Mod berkata, pemain industri makanan tidak harus memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya cara meringankan beban yang ditanggung golongan berpendapatan rendah, termasuk B40 dan asnaf.
“Kita (Sahabat Tomyam) menjayakan program ini dengan kerajaan supaya rakyat yang sedang mengalami kesusahan hidup dapat mengalas perut dengan menu yang lengkap pada harga yang berpatutan,” katanya sebagai tetamu dalam program ‘Malaysia Petang Ini: Menu Rahmah Bantu Rakyat Jimat’ terbitan Bernama TV hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sahabat Tomyam sedang menyelaras pelancaran pelaksanaan Menu Rahmah oleh ahli pertubuhan itu di seluruh negara.
Katanya, penyertaan bukan secara paksa tetapi amat dialu-alukan.
“Untuk peringkat awal dijangkakan 500 atau 600 restoran (milik ahli Sahabat Tomyam) di seluruh Malaysia akan menawarkan Menu Rahmah,” katanya.
Sebelum ini, Program Menu Rahmah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Januari lepas, dengan tujuh persatuan restoran termasuk Sahabat Tomyam terlibat dalam program itu. – BERNAMA