CYBERJAYA: Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu diumumkan Anwar pada sidang media Perdana Menteri Pasca Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan yang turut disiarkan secara langsung di Facebook rasminya, hari ini.
“Kerajaan hari ini, Jemaah Menteri setuju untuk menyumbangkan AS$1 juta dan ini akan bersama dengan sumbangan Tuanku Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar).
“DYMM Tuanku Sultan Johor juga bersetuju untuk menyalurkan AS$1 juta melalui sumbangan yang diselaraskan oleh kerajaan,”
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan bahawa seramai 70 orang anggota pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua akan berlepas ke Turkiye pada malam ini.
“Ini kerana pasukan pertama dilihat sangat berkesan dan pihak Turkiye rasa selesa dan memohon supaya kalau kita tambah.
“Bezanya, kali ini penerbangan diurus oleh Turkiye sendiri oleh Turkish Airline selain mengurangkan beban tanggungan kita.
“Kementerian Pertahanan juga ada menyiapkan pasukan doktor paramedik yang boleh bergerak selari dengan kegiatan SMART di Turkiye,” maklumnya.
Untuk rekod, awal pagi Isnin lalu, dunia dikejutkan dengan gempa bumi di Turkiye bermagnitud 7.7 menggegarkan Kahramanmaras, diikuti gegaran berkekuatan 7.6 pada skala Richter itu kira-kira sembilan jam kemudian yang menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Gempa bumi turut memusnahkan negara jiran Syria.
Menurut dpa, 2,270 orang terbunuh berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan dan organisasi penyelamat White Helmets.