KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar, mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Puteri UMNO dalam pemilihan UMNO 2023.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, segala pengurusan berkaitan keputusannya untuk menawarkan diri bagi bertanding jawatan parti di peringkat pusat itu, telah selesai dan akan menghantar borang pencalonan hari ini.
“Secara asasnya pengurusan pemakluman semua sudah selesai berjalan dengan lancar. Kita dah maklum dengan Ketua Puteri sekarang Datuk Zahida Zarik Khan.
“Saya juga sendiri sudah maklumkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri (Melaka) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn di sini malam tadi.
Beliau yang menjangkakan pertandingan empat penjuru dalam pemilihan kali ini, berharap agar semua calon yang menawarkan diri ialah mereka yang mempunyai nilai dan mampu untuk memacu UMNO dengan lebih baik.
“Pemilihan ini bukan sahaja untuk memangkin perubahan dan mencari pemimpin baharu sahaja, tetapi juga untuk memastikan siapa sahaja yang ingin menawarkan diri ini, seseorang yang mempunyai nilai dan mampu untuk membawa parti dengan jauh lebih baik,” katanya.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Februari.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – BERNAMA