CYBERJAYA: Semua pihak diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang berpotensi mencetuskan huru-hara sesama masyarakat di Malaysia.
Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada individu atau pihak yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
Malah, beliau turut memandang serius berhubung satu acara melibatkan perarakan replika bersenjata tajam yang berlangsung dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.
“Perarakan replika bersenjata yang tular di media sosial itu menimbulkan suatu kegusaran awam kepada masyarakat apatah lagi suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri dilihat semakin memuncak.
“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion & royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi, penggunaan sebarang simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara.
Katanya, segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif.
“Saya ingin menyeru dan mengajak rakyat untuk bersama-sama menyahut seruan Malaysia Madani yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antaranya mempromosikan elemen kesejahteraan, hormat dan ihsan dalam kalangan rakyat,” ujarnya.