KUANTAN: Keupayaan Sri Pahang FC menguasai bahagian tengah dan hadapan, membuka ruang buat mereka mencipta kemenangan 4-1, sekali gus mengutip tiga mata berharga ketika bertemu Kelantan FC, pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi.
Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, penguasaan menyeluruh pada babak pertama itu, kerana kombinasi yang baik antara barisan tengah dan hadapan skuad kendaliannya.
“Saya telah menukar posisi Nor Azam Azih daripada bahagian tengah kepada penyerang kedua bagi membantu Kpah Sherman di bahagian hadapan, Sergio Aguero pula diletakkan di sebelah kanan.
“Kombinasi ini amat baik, kerana ia banyak membuka ruang untuk pemain menghasilkan gol selain kita mampu melakukan hantaran cantik, bagi menembusi kubu Kelantan,” katanya pada sidang media sejurus selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur, di sini.
Bagaimanapun, Fandi berkata, rentak permainan skuad Tok Gajah kembali merudum pada minit ke-70, berikutan tonggak utama mereka belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.
“Tiga pemain utama kita iaitu Aguero, Kevin Ingreso dan Azam masih belum cergas sepenuhnya, tetapi keadaan mereka didapati semakin pulih… apabila persembahan kita menurun, bola di dalam kawalan kita hanya ditolak atau berlegar di bahagian tengah.
“Ini memberi ruang kepada pemain lawan mempamerkan aksi lebih bagus, cuma disebabkan kawalan kita ketat di bahagian tengah mereka agak sukar untuk tembus dan hanya mampu melakukan hantaran jauh,” katanya.
Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Choi Moon Sik mengakui beliau cuba menerapkan taktikal yang baik dalam pasukan pada separuh masa pertama, namun gawang mereka bolos empat gol sehingga menyukarkan situasi untuk bangkit.
“Kami cuba mencari penyelesaian atas kelemahan Kelantan FC pada separuh masa pertama dan hasilnya permainan kita agak baik pada babak kedua. Tetapi ketinggalan empat gol menyukarkan kami untuk menyaingi pasukan lawan,” katanya. – BERNAMA