KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk bertemu dengan manusia yang sanggup mengorbankan masa depan demi membantu seorang sahabat yang kesusahan.
Namun, berbeza buat pengasas Hijabistahub, apabila sahabatnya sanggup meminjamkan sejumlah wang daripada bank atas nama sendiri semata-mata mahu membantu pemilik jenama itu bangkit semula dari kejatuhan.
Nilai pengorbanan itu tidak akan dilupakan selama-lamanya oleh pasangan suami isteri, Ahmad Syafiq Hilmi dan Nur Alwani @ Wanie Elena yang berdepan hutang mencecah RM1 juta sekitar tahun 2017.
Jarang umum mengetahui kisah pahit getir yang dialami usahawan dalam perjalanan membina empayar perniagaan yang gah dan terkemuka, sebaliknya banyak yang dilihat hasil kejayaan dan kemampuan mencapai pelbagai pengiktirafan berprestij khususnya di media sosial.
Ahmad Syafiq berkongsi liku hidup dan onak duri ketika membina perniagaan, Qaiser Holdings Sdn Bhd yang mengeluarkan jenama pakaian Hijabistahub sejak lapan tahun lalu.
Jenama ini amat dikenali dalam kalangan selebriti dan artis tanah air kerana seringkali mendapat tempat selaku pakaian yang cantik digayakan khususnya menjelang lebaran.
“Biarpun perniagaan ketika itu menjunam, kami amat bersyukur kerana staf tidak berhenti bekerja.
“Hutang ketika itu hampir cecah RM1juta pada usia saya dan isteri berusia 20an, hutang itu tidak termasuk operasi kilang, selain berdepan defisit fiskal setiap bulan.
“Pada 2019 kami mula bangkit, minta bantuan rakan dan keluarga,” katanya.
Ahmad Syafiq Hilmi berkata, beliau terharu dengan mereka yang ikhlas dan sudi menghulurkan bantuan kerana seperti diketahui umum bukan mudah untuk meletakkan kepercayaan paling tinggi kepada yang benar-benar layak.
“Ada kawan-kawan yang bantu membuat pinjaman bank mereka, melalui mereka untuk bantu kami.
“Pakcik kepada isteri saya, Wanie, yang bekerja sebagai nelayan, sanggup jual botnya semata-mata untuk memberi hasil jualannya kepada kami untuk dijadikan modal berjuang dalam perniagaan.
“Bukan itu sahaja, ibu kepada seorang kawan kami yang kebetulan ketika itu baru sahaja bersara dan menerima pampasan, juga sudi meminjamkan wang pampasan kepada kami,” katanya.
Meskipun sudah berada di puncak tinggi malah pernah menjulang Malaysian 100 Top Young CEO 2022, Ahmad Syafiq dan isteri tidak pernah melupakan budi mereka yang pernah menghulurkan bantuan.
Ibarat hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Koleksi Raya ‘Hijabistahub & Soultan Royale Night’ di Hotel JW Mariott, di sini.
Pada majlis berkenaan, kira-kira 300 selebriti terkemuka dan pempengaruh media sosial hadir memberi sokongan bagi pelancaran jenama Soultan hasil kolaborasi Hijabistahub bersama pelakon tanah air, Aeril Zafrel dengan simbolik kemelayuan.
Turut menampilkan pertunjukkan fesyen antaranya pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal; Alif Aziz dan Bella Astillah; Mawar Rashid dan Raf Yaakob, Amyra Rosli dan Amar Baharin, Nisdawati dan Fauzi Nawawi, selain Iman Troye, Ryan Bakery dan Boss James.
Turut hadir memeriahkan suasana ialah penyanyi, Anuar Zain dan Ernie Zakri bersama pasangannya, Syamel.