HomeBeritaAnwar ingatkan Hadi jaga kata, jangan singgung kedudukan raja Melayu

Anwar ingatkan Hadi jaga kata, jangan singgung kedudukan raja Melayu

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak sekali-kali menyinggung kedudukan raja-raja Melayu.

Katanya, Abdul Hadi harus menjaga kata khususnya dalam isu membabitkan soal agama Islam kerana kuasa agama itu adalah di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri dan raja-raja Melayu khususnya berkaitan isu larangan ahli-ahli politik berceramah agama di masjid-masjid dan surau-surau.

“Saya cuma nak ingatkan dalam kenyataan-kenyataan dia (Abdul Hadi) harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan raja-raja Melayu, kalau dibicara Perlembagaan Persekutuan sekali pun ada juga kaedah dia.

“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk Perdana Menteri. Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi masjid itu harus keluar kerana itu kuasa agama di negeri itu di bawah raja-raja, jadi kena faham,” katanya seperti dilapor Utusan.

Belia berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau, sebaliknya, adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Perkara itu diulas susulan larangan terhadap semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Menurut Shaikh Harun, arahan larangan itu dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berdukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, menurut Shaikh Harun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Author

Pilihan Editor