KUALA LUMPUR: Jaringan hasil sepakan penalti Stefano Brundo pada masa kecederaan membantu Sri Pahang FC mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2023 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Tuan rumah bermula garang di hadapan kira-kira 5,000 penyokong sebelum penyerang Chinonso Chriastian membuka tirai jaringan pada minit ke-34.
Bermula separuh masa kedua, pasukan Tok Gajah menggandakan asakan sehingga memaksa pertahanan Perak Muhammad Fadhil Idris melakukan kesilapan dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-66.
Pahang memanfaatkan peluang itu untuk memecahkan kebuntuan jaringan untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-82.
Pengadil perlawanan Mohamad Kamil Zakaria Ismail kemudian menghadiahkan pasukan pelawat sepakan penalti pada masa kecederaan apabila Muhammad Baqiuddin Shamsudin dijatuhkan pertahanan Perak, Muhammad Nasrol Amri Kamarul Azhar.
Brundo kemudian menggunakan peluang berkenaan untuk menghadiahkan gol kemenangan buat Sri Pahang dan keputusan kekal 2-1 sehingga wisel penamat.
Kemenangan skuad kendalian Fandi Ahmad membawa mereka mara ke peringkat seterusnya untuk bertemu Selangor pada 15 April di Stadium MBJB pada perlawanan pusingan kedua Piala FA.
Sementara itu, perlawanan di Stadium Darul Aman menyaksikan tuan rumah tewas kepada Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Separuh masa pertama menyaksikan kapten pasukan Manuel Gelito Ott meletakkan Kedah di hadapan menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol Shafiq Afifi Suhaimi pada minit kelapan.
Tersentak jaringan itu, pasukan pelawat mengatur serangan dan berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi tolakan mudah Giovane Gomes Da Silva yang bijak menghidu bola muntah susulan kesilapan penjaga gol Kalamullah Al Hafiz menangkap kemas rembatan pemain lawan pada minit ke-21.
Skuad Harimau Kumbang menggandakan jaringan pada minit ke-67 menerusi percubaan cantik Hassan Saad.
Permainan semakin rancak dengan serangan bertali arus pemain KDA FC yang kemudian berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan cantik Gelito pada minit ke-89.
Kedudukan seri itu menyebabkan perlawanan diheret ke masa tambahan selepas tamat 90 minit perlawanan sebelum Penang meraih kemenang 4-3 menerusi sepakan penalti. – BERNAMA