HomeNiaga14 syarikat dapat Anugerah HQC Global Brand Awards

14 syarikat dapat Anugerah HQC Global Brand Awards

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (MIRF 2022) menobatkan sebanyak 14 syarikat sebagai penerima Anugerah HQC Global Brand Awards 2022/2023 di sini baru-baru ini.

Anugerah itu diadakan sempena MIRF 2022 terbesar di negara ini yang menampilkan 400 pempamer tempatan serta luar negara dengan jualan berfokus industri peruncitan dan francais.

Pengerusi Panel Jawatankuasa Penganjur, HQC Global Brand Awards (HGBA), Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, pengiktirafan tersebut bertujuan membantu meningkatkan kredibiliti syarikat dan jenama terus berkembang selepas hampir dua tahun berhadapan pandemik COVID-19.

“Sejak tiga bulan lalu negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik dan peluang menyertai pameran ini sebaiknya digunakan para usahawan untuk terus mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat global.

“Pengiktirafan disampaikan pada hari ini sebagai tanda menyokong pembangunan syarikat khususnya terlibat di dalam industri peruncitan dan francais dengan menjadikan pameran MIRF 2022 sebagai satu platform untuk terus berdaya maju kerana mereka telah mempunyai rekod prestasi yang cemerlang.

“Sokongan penyertaan 10 buah negara luar termasuk Korea Selatan, Singapura, Taiwan, India, Pakistan, Jepun, Cyprus dan Filipina adalah bukti sempadan perdagangan kini sudah terbuka. Pameran MIRF 2022 mensasarkan transaksi jualan sebanyak RM90 juta yang melibatkan kehadiran pengunjung seramai 15,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin telah menyampaikan ucaptama dan menyampaikan anugerah kepada para penerima anugerah.

Turut hadir menyampaikan anugerah tersebut ialah Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan.

Antara penerima anugerah ialah HL Restaurant and Café, JV Food Culture (Haruka Bakery), Mama Global International Sdn Bhd dan Madam Grace Kitchen.

Sementara itu, Khairul menambah, HQC Global Brand Awards merupakan anugerah khas untuk menghargai pencapaian syarikat-syarikat pelanggan HQC Commerce Sdn. Bhd. (HQC).

Beliau berkata, HQC merupakan rakan strategik kepada Akademi Halal Antarabangsa Malaysia yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Jelasnya, lebih 1,000 syarikat telah dibantu dalam perkhidmatan rundingan dan latihan pembangunan berkaitan pensijilan halal.

“Selain itu HQC turut memberikan khidmat runding cara berkaitan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).

“Sebanyak lapan jenis anugerah pengiktirafan telah disampaikan kepada syarikat antaranya Halal Excellence Brand, Halal Emerging Brand, Halal Quality Health Brands, Halal Honesty and Trusted Enterprises.

“Antara kriteria utama bagi penerima pencalonan anugerah ini merupakan pemegang sijil halal yang sah dan diiktiraf oleh JAKIM, mempunyai rekod perniagaan yang baik tanpa sebarang isu berkaitan halal dan mempunyai tadbir urus perniagaan yang baik,” katanya.

Pada pameran kali ini, buat julung kalinya HQC turut menyediakan HQC Halfex Pavillion untuk memberi peluang penerima anugerah mempamer produk jualan masing-masing. HQC Halflex Pavilion ini merupakan pengenalan kepada penganjuran Halal Food Exhibition (HALFEX) yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Khairul memaklumkan HQC bekerjasama dengan Alliance Islamic Bank yang membolehkan para penerima anugerah menyertai program #sapotlokal yang menyediakan hebahan secara percuma produk dan perkhidmatan kepada dua juta pelanggan bank terbabit.

Pada majlis sama turut berlangsung dua majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Dewan Perdagangan Islam Malaysia dan World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd khusus untuk usahawan menerokai pasaran eksport dan import produk-produk halal manakala persefahaman yang kedua dimeterai antara HQC dengan e-commerce YOLO yang merupakan platforrm jualan dalam talian.

Author

Pilihan Editor