KOTA BHARU: Kelantan United gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri selepas tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Bermain di hadapan kira-kira 1,000 penonton, Kelantan United terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi penyerang import Brazil Devid Silva yang menerima hantaran lintang rakan sepasukan Jose Porteria.
Susulan gol pertama itu, Kelantan United dikendali Tomas Trucha meneruskan asakan bagi menambah jaringan dan Devid sekali lagi hampir menewaskan penjaga gol Kedah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menerusi tandukan pada minit ke-25.
Gol penyamaan Kedah hadir pada minit ke-34 menerusi tandukan pemain import Brazil Willian Sousa yang menyambut kemas tendangan sudut Lee Tuck sekali gus menewaskan penjaga gol Kelantan United Ahmad Asyraaf Omar.
Kedah kemudian mendahului di depan selepas Manuel Gasparini yang dikasari pertahanan Kelantan United dalam kawasan kotak penalti menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil pada minit ke-44.
Bersambung babak kedua, Kedah berhasil menambah jaringan ketiga menerusi pemain gantian Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-79 menerusi jaringan penalti.
Kelantan United bagaimanapun merapatkan kedudukan dengan gol kedua mereka menerusi jaringan penalti Yan Victor Silva pada minit ke-88 namun jaringannya itu tidak mampu untuk menahan Kedah daripada mengutip tiga mata penuh selepas wisel penamat ditiupkan. – BERNAMA