KUALA LUMPUR: Pemerkasaan pengangkutan awam amat diperlukan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas, yang dilihat telah menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus merugikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesesakan itu menyebabkan golongan pekerja kehilangan banyak masa hanya untuk ke pejabat dan ia sangat merugikan.
“Soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas itu akan menimbulkan soal produktiviti (dan) produktiviti negara akan terjejas, kerana kesesakan masa yang diambil pekerja untuk ke tempat kerja. Satu kajian menarik yang saya lihat di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan, beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.
“Sebab itu jawapannya apa?, jawapannya ialah pengangkutan awam… jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) juga sedang siapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, dan akan dibentang pada Jemaah Menteri dan boleh dilaksana mengikut peringkat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Transit Aliran Massa Fasa Dua (MRT2) Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar mahu setiap projek yang dilaksanakan mengutamakan aspek penyelenggaraan yang telus tanpa sebarang ketirisan dan rasuah, seterusnya membolehkan dapatan kos yang lebih kompetitif.
“Kenapa saya tekankan begini, kerana MOT dan aspek pengangkutan awam yang strategik akan menelan belanja yang tinggi, contohnya kos MRT laluan Putrajaya, kosnya cecah bilion ringgit.
“Tapi kalau diuruskan dengan baik dan telus, ia boleh dijimatkan dan kita boleh manfaatkan dana itu untuk membangunkan projek kecil yang lain,” katanya.
Beliau berkata penegasan itu selari dengan apa yang ditekankan oleh Kerajaan Perpaduan menerusi konsep Malaysia MADANI, yang mementingkan tadbir urus yang baik.
Sementara itu, Perdana Menteri ketika ditemui selepas mencuba laluan MRT laluan Putrajaya yang baharu, menzahirkan rasa berpuas hati dengan tahap pengurusan, pemantauan dan pengurusan kebersihan di sepanjang laluan berkenaan.
“Harap pengguna bagi kerjasama pastikan kebersihan dan penggunaan fasiliti dengan baik,” katanya. – BERNAMA