KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa yang melaporkan kehilangan wang daripada institusi perbankan di seluruh negara bagi tahun 2022 ialah sebanyak 20,041 kes, dengan penipuan belian dalam talian menjadi kes tertinggi iaitu 9,258 kes.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah itu penipuan Macau scam melibatkan 3,370 kes, penipuan pelaburan (3,266 kes) dan penipuan pinjaman tidak wujud (3,174 kes).
Sementara itu, African scam atau Love scam pula sebanyak 792 kes, penipuan tipu sistem pesanan ringkas (SMS) sebanyak 139 dan Business Email Compromise sebanyak 42 kes.
“Manakala, statistik kes jenayah dalam talian bagi tahun 2020 ialah sebanyak 17,227 kes dan tahun 2021 sebanyak 20,701 kes,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Sehubungan itu, Rafizi berkata bagi institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan keperluan untuk bank memastikan kawalan dan standard keselamatan mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi pada setiap masa, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih.
“BNM telah mengarahkan bank untuk mengambil langkah tambahan, seperti mempercepatkan peralihan daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui SMS, kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh bagi transaksi dalam talian.
“Kaedah pengesahan itu ialah bagi transaksi berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun,” jelasnya.
Selain itu, BNM juga meminta bank untuk memperketat peraturan pengesanan penipuan dan sekat transaksi yang disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan kewangan, serta mengenakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat.
“Pelanggan juga dihadkan untuk hanya menggunakan satu peranti sahaja bagi tujuan pengesahan transaksi perbankan dalam talian.
“Bank dinasihatkan untuk menyediakan talian hotline khusus bagi pelanggan melaporkan kes penipuan dalam talian melibatkan akaun bank mereka dan meningkatkan tahap respons ke atas laporan yang dibuat,” katanya.
BNM juga akan menguatkuasakan mekanisme kill switch ke atas industri perbankan, untuk membolehkan pelanggan bank membeku akaun bank mereka, termasuk kad ATM dengan segera, bagi memastikan mangsa jenayah penipuan dapat bertindak, dengan menyekat aliran wang daripada terus keluar daripada akaun mereka.
“Semua bank sudah pun menyediakan kemudahan assisted kill switch dan ada yang telah membangunkan self-service kill switch,” katanya.
Rafizi berkata, mangsa boleh mengemukakan aduan kepada Ombudsman Perkhidmatan Kewangan, sekiranya terdapat sebarang pertikaian terhadap keputusan siasatan, dan jika mangsa masih tidak berpuas hati dengan keputusan pihak bank atau nilai pampasan yang ditawarkan.
Mangsa juga boleh terus mengemukakan aduan kepada BNM, sekiranya tidak berpuas hati dengan cara pengendalian aduan mereka oleh pihak bank, katanya. – BERNAMA