HomeBeritaPemuda UMNO tiga bahagian lapor polis bantah 'Thai Hot Guy'

Pemuda UMNO tiga bahagian lapor polis bantah ‘Thai Hot Guy’

AMPANG: Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Pandan dan Gombak hari ini membuat laporan polis menggesa agar program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan.

Wakil kumpulan itu yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Hasry Sham Chasmen berkata, pihaknya membantah keras penganjuran pesta komuniti gay di sebuah bar dikenali ‘Privacy Club Tun Razak’ di Jalan Tun Razak, ibu negara, pada 30 Mac ini.

“Kami membantah sekeras-kerasnya pesta gay yang bertempat di Kuala Lumpur pada bulan Ramadan.

“Bagi negara yang majoritinya Islam dan Islam sebagai agama rasmi, pesta ini tidak sesuai dan menyentuh sensitiviti orang Islam.

“Pesta ini yang diuar-uarkan secara besar-besaran menerusi media sosial seolah menggalakkan pula program yang bertentangan agama dan norma hidup masyarakat yang majmuk,” katanya pada sidang media selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Rizwan Shah Azlan dan EXCO Pemuda UMNO, Syafie Abdul Rahman.

Seramai 40 ahli UMNO di tiga bahagian turut bersama pada sidang media itu.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan laman media sosial Facebook, pembukaan rasmi sebuah bar yang akan dipersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’ sebagai tarikan utama.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pihaknya meminta program itu tidak diteruskan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Tinjauan MEDIA VARIASI mendapati hantaran iklan di Facebook telah dipadam.

Bagaimanapun, Hasry memberitahu walaupun sudah dipadam namun pihak penganjur perlu bertanggungjawab.

“Tindakan iklan dan mempromosi LGBT itu telah menyalahi, melanggar undang-undang, sepatutnya SKMM juga boleh bertindak ke atas isu ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor