HomeNiagaMakanan kucing versi halal dapat sambutan tinggi di pasaran Asia Tenggara

Makanan kucing versi halal dapat sambutan tinggi di pasaran Asia Tenggara

 

CYBERJAYA: Produk makanan kucing halal kini semakin mendapat sambutan dalam pasaran di Asia Tenggara.

Presiden Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Adrian Ros­lan berkata, ketika makanan kucing di pasaran tempatan tidak memerlukan sijil halal, produk makanan kucing daripada jenama Power Cat keluaran syarikat untuk pasaran eksport telah menerima pensijilan halal daripada Majlis Ulama Indonesia.

Tambah beliau, kesemua produk makanan keluarannya untuk pasaran eksport menggunakan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kecuali makanan kucing.

“Pensijilan halal JAKIM ini sememangnya diyakini di seluruh dunia dan kita patut berbangga apabila produk kita dapat menggunakan logo halal daripada JAKIM. Proses untuk mendapatkannya pun bukan mudah.

“Kami ada menyatakan hasrat kepada JAKIM supaya mewujudkan logo halal untuk makanan haiwan, namun kami faham bukan mudah untuk mewujudkan skop baharu dalam pensijilan halal.

“Pada masa sama, kami tidak melihat bahawa pihak JAKIM memandang pensijilan halal bagi makanan haiwan ini adalah sesuatu yang tidak perlu,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Jelas Adrian, produk makanan kucing halal keluaran syarikat mendapat sambutan baik dari pasaran luar negara terutamanya Filipina, sehingga fasiliti pengeluaran syarikat yang bertempat di Rawang ‘tak cukup tangan’ untuk memenuhi permintaan.

Tambah Adrian, Adabi bagaimanapun telah pun memulakan kerja-kerja naik taraf fasiliti pengelua­ran makanan kucingnya termasuk melibatkan pembelian mesin baharu, yang dijangka selesai sekitar Jun ini.

“Adabi sebelum ini popular dengan produk serbuk kari, namun segmen ini sebenarnya telah jatuh ke tangga kedua dan digantikan dengan segmen makanan kucing yang kini menyumbang kira-kira 23 peratus daripada perolehan syarikat,” maklumnya.

Katanya lagi, terdapat pasaran besar bagi makanan kucing halal di negara ini dan berdasarkan tinjauan pasaran yang dilakukan pihaknya, keperluan pensijilan halal untuk makanan kucing sememangnya ada.

“Ramai umat Islam yang membela kucing dan masyarakat Melayu pun ramai yang begitu sensitif tentang isu halal ini.

“Ada pelanggan kami yang menyatakan mereka sedikit geli untuk memegang makanan haiwan yang tidak diketahui status halalnya sehingga ada yang mengenakan sarung tangan untuk mengendalikannya.

“Halal ini bukan sahaja melibatkan soal bersih, malah suci. Kini ramai yang berbelanja ba­nyak untuk penjagaan kucing peliharaan yang dianggap sebagai ahli keluarga sendiri dan mereka mahu memastikan makanan yang diberikan kepada haiwan kesayangan adalah dijamin kesuciannya,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor