TAIPEI: Pusat Kecemerlangan AI Taiwan (Taiwan AICoE) yang berperanan untuk membangunkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) Taiwan, dibuka secara rasmi pada Selasa.
Pada majlis pelancaran di Taipei, Menteri Majlis Sains dan Teknologi Negara (NSTC), Wu Tsung-tsong berkata, aplikasi AI telah berkembang pesat dan menjadi bahagian penting dalam kehidupan seharian sejak kerajaan menetapkan 2017 sebagai tahun sifar untuk industri AI Taiwan.
Kemunculan ChatGPT yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) mengejutkan China dan Jepun selain memberi cabaran baharu seperti persoalan mengenai etika, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia yang berkait dengan penggunaan AI, kata Wu.
Beliau berkata, NSTC kini berusaha merumuskan prinsip etika dan umum bagi membolehkan badan antara kerajaan mengkodifikasikan syarat-syarat yang mengawal penggunaan AI yang dapat membawa Taiwan sejajar dengan inisiatif AI global dan memanfaatkan pengaruh antarabangsa Taiwan dalam bidang tadbir urus AI.
Pusat itu yang dikendalikan oleh NSTC, akan berfungsi sebagai platform untuk menyelaras usaha oleh agensi kerajaan berkaitan untuk merumus peraturan mentadbir aplikasi AI dan memudahkan kerjasama dalam projek AI antarabangsa.
Tsai Zse-hong, ketua AICoE Taiwan pula berkata, pusat itu akan berusaha untuk memulakan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh teknologi AI teras, mewujudkan kumpulan bakat AI di rantau Asia Pasifik dengan memanfaatkan institusi AI antarabangsa terkemuka dan menyertai organisasi AI “berpusatkan manusia” untuk menjalin perkongsian yang boleh dipercayai dalam alam AI dengan negara yang berfikiran sama.
AICoE Taiwan sedang berbincang dengan institusi antarabangsa mengenai beberapa draf projek dan akan menjadi titik hubungan tunggal Taiwan untuk projek antarabangsa serta menyediakan panduan tentang perancangan dan pembangunan industri AI tempatan, kata Tsai.
Ditanya oleh pemberita tentang kemajuan rancangan NSTC untuk membangunkan “Taiwanese ChatGPT” untuk digunakan oleh orang ramai, Tsai berkata NSTC sedang mengumpulkan pasukan untuk mengumpul data yang sesuai dengan masyarakat dan budaya Taiwan serta menguji perisian yang dijangkakan mula berhasil menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata pelbagai pengembangan berperingkat dirancang untuk superkomputer Taiwania 2 yang dikuasakan AI yang dibangunkan oleh Makmal Penyelidikan Gunaan Kebangsaan untuk menampung projek itu dan mencipta ChatGPT Taiwan.
Usaha semasa kini bertumpu pada ujian berkaitan kuasa pengkomputeran dan set data, yang sepatutnya dapat meliputi lebih 2,000 unit pemprosesan grafik (GPU), katanya. – BERNAMA-CNA