BENTONG: Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Mempaga, Lurah Bilut dekat sini yang tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, berdasarkan laporan itu pihaknya sedang memburu suspek.
“Pada 4 April (semalam) tular gambar dan rakaman video di laman sesawang Facebook ‘Kami Penduduk Bentong (Official)’ berkaitan insiden membaling batu ke arah kenderaan di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat berkenaan, pihak polis sedang memburu suspek yang melakukan perbuatan khianat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak polis bekerjasama dengan penduduk setempat di Felda Mempaga dan Kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lebu untuk membuat rondaan serta pemantauan bagi mengesan suspek.
“Kita memohon kerjasama daripada semua pihak agar berhati-hati semasa memandu di jalan tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” maklumnya.